NEW DELHI - Maldives, Sri Lanka dan Pakistan telah memperbaharui sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin dalam sempadan sebelum 1967 ketika konflik Arab-Israel semakin meningkat.
Kerajaan Maldives dalam satu kenyataan mengulangi pendiriannya bahawa"keamanan yang berkekalan di Asia Barat hanya boleh dicapai melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin."
Ia menyeru pelaksanaan penuh resolusi Majlis Keselamatan"yang telah mengisytiharkan batal dan tidak sah pendudukan Palestin dan pengilhakan Kota Suci Baitulmaqdis."
Wilayah Arab yang diduduki oleh Israel dalam perang 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
"Sri Lanka kekal komited untuk menyokong penyelesaian yang dirundingkan selaras dengan parameter yang dipersetujui antarabangsa bagi dua negara yang tinggal bersebelahan berdasarkan sempadan 1967," kata Kementerian Luar Sri Lanka.
Kerajaan sementara Afghanistan menyalahkan pencabulan hak Palestin oleh Israel sebagai punca peningkatan terbaharu dalam konflik selama 75 tahun dan meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membantu rakyat Palestin.
Pakistan dalam satu kenyataan menyeru masyarakat dunia untuk bersama-sama menamatkan permusuhan dan untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat.
"Negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan bersempadan harus ditubuhkan berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Al Quds Al Sharif (Baitulmaqdis) sebagai ibu negaranya," katanya.
Negara-negara itu melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan yang mengorbankan ratusan orang di Israel dan Palestin pada Sabtu.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah mengumpulkan tenteranya untuk berperang dan telah mengancam untuk menukar Gaza, yang telah berada di bawah sekatan Israel selama 16 tahun, menjadi"pulau terbiar" selepas pejuang Palestin melakukan serangan di negara Yahudi itu. - Bernama