JAKARTA - Satu serangan udara Israel ke atas Hospital Indonesia di Bayt Lahiya, Gaza Utara pada Sabtu mengakibatkan kematian seorang sukarelawan Palestin bernama Abu Romzi, yang telah berkhidmat di kemudahan itu sejak 2011.
Jet tempur Israel menyerang ambulans Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C), sebuah pertubuhan sosial kemanusiaan Indonesia di hadapan kuarters sukarelawan di kompleks hospital itu.
"Abu Romzi, kakitangan MER-C tempatan yang berada berhampiran ambulans, adalah salah seorang mangsa dan segera dibawa ke hospital," tulis Farid, seorang sukarelawan Indonesia di Semenanjung Gaza, dalam satu kenyataan.
Ketua MER-C, Dr Sarbini Abdul Murad menyatakan kesedihan atas kematian Abu Romzi dan mengecam serangan kejam Israel, yang menyerang hospital dan penduduk awam di Gaza.
"Kami menggesa pembukaan segera sempadan Gaza untuk membenarkan bantuan antarabangsa masuk ke Semenanjung Gaza," tambahnya.
Dr Sarbini juga menggesa kerajaan Indonesia untuk memberi tekanan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk sesi tergempar mengenai perkara itu.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Indonesia menekankan kebimbangan mendalam negara berkenaan berhubung peningkatan konflik antara Palestin dan Israel.
"Indonesia menggesa tindakan keganasan segera dihentikan untuk mengelakkan lebih banyak kemalangan jiwa," kata kementerian itu dalam akaun rasmi X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, pada Ahad.
Agensi Anadolu melaporkan peningkatan konflik berikutan serangan mengejut Hamas pada awal Sabtu, membabitkan berpuluh-puluh pejuang yang menyusup masuk ke bandar-bandar Israel berhampiran enklaf itu di tengah-tengah tembakan hebat roket.
Kementerian Kesihatan Israel berkata, sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh di pihak Israel dengan lebih daripada 1,500 cedera akibat serangan itu.
Pada masa sama, serangan udara Israel di Gaza menyebabkan lebih daripada 250 kematian dan lebih daripada 1,700 penduduk Palestin cedera, seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan. - Bernama