BENTONG - Tewas dalam pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu bukan pengakhiran bagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Sebaliknya, beliau berkata, kekalahan itu bukan pengakhiran buatnya khususnya dalam dunia politik.
"Walaupun kalah dan hilang deposit, ini bukanlah pengakhiran. Saya akan terus menjadi pemantau semak dan imbang kerajaan Pahang atas platform PSAP (Pertubuhan Suara Anak Pahang)," katanya pada Ahad.
Presiden PSAP itu turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kerana telah membantu dan mengundinya dalam PKR kali ini.
"Apa pun semuanya kuasa Allah SWT, dengan hanya berbekalkan jentera seramai tujuh orang bagi melawan dua batalion parti yang besar bukanlah sesuatu yang mudah," ujarnya.
Keputusan PRK DUN Pelangai menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam PRK yang berlangsung pada malam Sabtu.
Perkembangan ini sekali gus menyekat misi PN untuk merampas kerusi tradisi BN itu selain gagal dalam misi menambah kerusi DUN Pahang ke-18.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam memperolehi 7,324 undi manakala calon PN, Kasim Samat (4,375 undi) dan Haslihelmy (47 undi).
Jumlah itu membabitkan semua 31 saluran undi dengan majoriti 2,949 undi diterima dan 120 undi ditolak manakala peratusan keluar mengundi adalah 72.12 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar.
PRK DUN Pelangai terpaksa diadakan ekoran kematian penyandang, Datuk Seri Johari Harun dalam insiden pesawat berlaku di Elmina, Shah Alam pada Ogos lalu.
Pada PRU15, Allahyarham Johari daripada BN menang majoriti 4,048 undi dalam pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air.