SEREMBAN - Lebih kurang 100 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban yang menyewa di sebuah pangsapuri perkhidmatan di sini berdepan kepayahan apabila lif di bangunan itu tidak berfungsi.
Wakil pemilik pangsapuri, Leong Ywong Sen, 50 berkata, terdapat lebih 200 unit suite perkhidmatan di pangsapuri 12 tingkat tersebut dengan anggaran 30 daripadanya disewakan kepada penuntut UiTM dan penyewa lain.
"Pada hujung September lepas bekalan elektrik diputuskan, sekali gus mengakibatkan kawasan tangga serta koridor gelap pada waktu malam, bagaimanapun bekalan elektrik di setiap rumah masih ada.
"Situasi itu dipercayai berlaku disebabkan pihak pengurusan bangunan mempunyai tunggakan hutang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencecah puluhan ribu ringgit," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Ujar Ywong Sen, keadaan itu menyebabkan pemilik kediaman bimbang akan keselamatan penuntut terutamanya golongan wanita.
"Pangsapuri ini menjadi pilihan mereka berikutan dekat dengan kampus tetapi berlaku sebaliknya pula, apabila ada dalam kalangan mereka perlu menggunakan tangga untuk ke kediaman sehingga ke tingkat 12.
"Ibu bapa yang hantar anak-anak pada sesi pendaftaran semester baru-baru ini juga mengeluh kerana terpaksa menggunakan tangga sambil mengangkat beg," katanya.
Seorang lagi pemilik yang mahu dikenali sebagai Lin, 40, berkata, dia terpaksa memulangkan wang deposit kepada penuntut yang menyewa di unitnya kerana keadaan tersebut.
"Justeru, kami sebagai pemilik harap pihak berkenaan seperti pemaju, pihak pengurusan, TNB dan Pesuruhjaya Bangunan (COB) supaya dapat menyelesaikan masalah ini," katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pihak TNB, COB dan wakil pemaju untuk membincangkan perkara tersebut.
"Saya juga perlu duduk berbincang dengan pemilik untuk mengetahui kedudukan sebenar. Objektif utama adalah untuk memastikan elektrik dapat disambung kembali dalam masa terdekat.
"Jika keadaan ini berterusan, penyewa akan keluar seorang demi seorang dan tidak mustahil pangsapuri ini akan menjadi bangunan terbiar kelak," katanya.