Isu beras: Ahli Parlimen Sik serah usul bahas di Parlimen

Iklan
Ahmad Tarmizi. Gambar kanan: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan harus mengambil langkah-langkah tegas bagi memastikan peningkatan pengeluaran beras tempatan termasuk meningkatkan sokongan kepada petani tempatan. - Gambar hiasan

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman telah menyerahkan usul berkaitan isu beras putih dalam negara yang semakin meruncing untuk dibahaskan dalam sidang Parlimen.

Beliau berkata, surat pemberitahuan usul berkenaan bertarikh 4 Oktober itu diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usul berkenaan penting untuk dibahaskan oleh semua ahli Parlimen bagi pencambahan idea dan mencari penyelesaian bersama bagi menangani isu beras putih tempatan (BPT) yang memerlukan tindakan segera.

"Saya harap usul berkenaan diterima untuk dibahas kerana beras putih adalah makanan asas rakyat Malaysia dan bekalan yang mencukupi adalah penting dalam memastikan keselamatan makanan negara,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata, isu tersebut merupakan keperluan untuk dibincangkan berikutan kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara beras import dalam pasaran negara, yang berpotensi merugikan industri beras tempatan selain menyebabkan harga beras meningkat secara tidak munasabah.

"Mulai 5 Oktober, kerajaan memutuskan harga beras putih import (BPI) diserap oleh kerajaan bagi membolehkan BPI diperolehi pada harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram (kg). Ini berikutan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad.

Iklan

"Ketiadaan BPT di pasaran adalah isu serius yang perlu ditangani segera kerana ia boleh memberi kesan kepada ketahanan makanan negara dan kualiti hidup rakyat,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan harus mengambil langkah-langkah tegas bagi memastikan peningkatan pengeluaran beras tempatan termasuk meningkatkan sokongan kepada petani tempatan.

"Saya turut menggariskan empat langkah intervensi yang diperlukan dalam usaha kita menangani isu beras tempatan yang saya senaraikan dalam usul terbabit.

"Pertama, kerajaan harus beri tumpuan kepada peningkatan pengeluaran beras tempatan dengan menyokong pesawah melalui penyediaan teknologi moden, latihan dan penyelidikan serta bantuan kewangan lebih besar,” jelasnya.

Ahmad Tarmizi berkata, langkah lain termasuk penentuan harga siling untuk beras import.

"Penting untuk mengkaji semula dan menetapkan harga siling beras import. Ini bagi memastikan beras tempatan bersaing secara adil dengan beras import, selain mengelakkan penyalahgunaan harga oleh pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga harus merangka pelan pemulihan komprehensif termasuk langkah jangka masa sederhana dan panjang yang perlu disusun dengan teliti berlandaskan kepada analisis menyeluruh berkaitan bekalan beras negara.

"Langkah seterusnya, kerajaan harus menggalakkan perkongsian data yang lebih baik antara pemain industri beras untuk memantau dan meramal bekalan secara lebih efisien. Kerjasama antara sektor awam dan swasta penting untuk mencapai matlamat ini,” ujarnya.

Beliau berharap menerusi tindakan bersesuaian, selain garapan idea daripada kesemua ahli Dewan Rakyat dapat membantu mengatasi ketiadaan BPT di pasaran serta mengawal harga BPI yang tinggi.

"Ia harus dipertimbangkan demi menjamin bekalan makanan dalam negara, sekaligus melindungi kepentingan petani tempatan. Ia juga dapat memastikan keselamatan makanan negara dan rakyat mempunyai akses kepada beras pada harga berpatutan,” jelasnya.