Penganjuran SDSI Madani bantu perluas rantaian perniagaan

Iklan
KUSKOP anjur SDSI Madani peringkat kebangsaan bertempat di MITC, Ayer Keroh bermula 6 hingga 8 Oktober 2023.

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka menganjurkan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Madani peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

KUSKOP dalam satu kenyataan berkata, program bermula 6 hingga 8 Oktober itu bertujuan menyediakan medium pemasaran produk atau perkhidmatan SDSI yang berkualiti dan meningkatkan imej produknya.

Iklan
Iklan

Tambahnya, ia memberi pendedahan kepada umum bahawa keluaran SDSI adalah berpotensi dan berkualiti serta memperluaskan rantaian perniagaan.

"Menerusi platform ini, ia turut memberi peluang kepada KUSKOP, kerajaan negeri Melaka dan agensi-agensi untuk menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan keusahawanan dan koperasi melalui sesi taklimat, pameran kepada usahawan, koperasi serta komuniti setempat,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Kementerian itu memaklumkan, sebanyak 14 pavilion negeri dan wilayah persekutuan dibuka dengan penyertaan seramai 146 usahawan SDSI dari seluruh negara.

Tambahnya, penyertaan itu untuk pameran Jualan Usahawan SDSI daripada empat kluster seperti produk makanan dan minuman (F&B), inap desa, produk kraf dan perkhidmatan kesihatan.

Iklan

"Program yang berlangsung selama tiga hari ini dijangka menarik seramai 20,000 pengunjung dengan potensi jualan tunai sebanyak RM100,000.

"KUSKOP turut mengunjurkan potensi jualan daripada program padanan perniagaan sebanyak RM3 juta dan potensi pembiayaan berjumlah RM3 juta melalui program Biaya Usahawan.

"Turut diadakan Jualan Aneka Rasa Madani melibatkan 43 usahawan bagi mempromosi dan memperkenalkan pelbagai menu yang unik serta terkenal dari seluruh negara,” ujarnya.

Sementara itu, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengadakan Jualan Madani Koperasi (JMK) yang menawarkan barang keperluan asas seperti beras, telur dan minyak masak dengan kadar berpatutan serta lebih murah daripada pasaran tempatan.

Ujarnya, penganjuran Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jualan Agro Madani menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut diadakan bagi memanfaatkan rakyat, usahawan serta anggota koperasi dalam mendapatkan barang keperluan asas.

"KUSKOP berharap dengan pelaksanaan program kali ini dapat merancakkan semula aktiviti keusahawanan dan koperasi dalam kalangan usahawan SDSI di seluruh negara.

"Ia selaras dengan kerangka visi Malaysia Madani di bawah tonggak 'kesejAhteraan' yang bermaksud keseimbangan bagi menuju sebuah negara bangsa maju dan sejahtera,” jelasnya lagi.