KUALA LUMPUR - Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh mengarahkan kerja pembersihan dipertingkatkan selepas mendapati 'scupper drain' terhalang dengan daun kering dan sampah.
Menurut kemas kini di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kamarulzaman telah membuat tinjauan ke beberapa lokasi kejadian air bertakung susulan hujan lebat pada Jumaat, antaranya Jalan Permaisuri 3, Jalan Cheras berhadapan dengan Eco Cheras Mall dan Rumah Pam Jalan Chow Sow Lin.
Katanya, lawatan pada Sabtu itu turut disertai oleh pegawai-pegawai DBKL dan wakil dari Alam Flora.
"Berdasarkan penelitian didapati kebanyakan scupper drain terhalang dengan daun kering dan sampah menyebabkan aliran air ke sistem perparitan menjadi tidak lancar.
"Beliau mengarahkan kerja-kerja pembersihan ditingkatkan selain jabatan terlibat melihat segera keperluan menaik taraf sistem perparitan sedia ada dan turut memastikan agar pam-pam air di rumah pam sentiasa berfungsi dengan baik," menurut kenyataan di Facebook pada Ahad.
Menerusi kenyataan sama, DBKL turut menyeru warga kota sentiasa menjaga kebersihan bandar raya Kuala Lumpur dengan tidak membuang sampah merata-rata.
Ujarnya, tindakan itu antara penyumbang kepada berlakunya kejadian air bertakung.
Pada Jumaat, media melaporkan beberapa jalan utama di ibu negara dinaiki air susulan hujan lebat selama kira-kira sejam sekitar jam 5 petang.
Jalan terjejas antaranya Jalan Chan Sow Lin, Jalan Raja Chulan, Jalan Kinabalu, Salak Expressway, Jalan Loke Yew, MRR2, Jalan Cheras, AEON Maluri, Jalan Sri Permaisuri, Yaacob Latif Tunnel dan Jalan Travers sekali gus menyebabkan gangguan lalu lintas di Kuala Lumpur.