KUALA LUMPUR - Penjaja-penjaja Bazar Ramadan Jalan Raja memerlukan sokongan warga kota untuk meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka di situ susulan beberapa siri masalah yang dilalui mereka sejak mula beroperasi.
Pengerusi Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (Gerak Padu), Datuk Mohamad Razlan Rafii menyifatkan keputusan kerajaan membuat perubahan itu adalah satu kesilapan namun penjaja-penjaja tidak mempunyai pilihan untuk terus bertahan.
Menurutnya, pelbagai aduan diterima melibatkan masalah yang dihadapi penjaja di situ termasuk masalah bekalan elektrik yang beberapa terputus secara tiba-tiba.
"Kebetulan saya dan keluarga jalan di Bazar Ramadan Dataran Merdeka (Jalan Raja), hujan lebat, kesian penjaja, ada yang barangan rosak akibat air naik.
"Kawasan Dataran Merdeka ini memang dikenali dengan kawasan banjir, sistem peparitan tidak baik, air deras akan mengalir dari Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membawa ke Bangunan Sultan Abdul Samad.
"Bukan itu sahaja, elekrik pula beberapa kali terputus, dah lah kepanasan disebabkan terkepung dengan penutup khemah, kipas pula tidak berfungsi. Ini semua dugaan yang perlu dihadapi oleh penjaja bazar Ramadan.
"Ayuhlah kita sama-sama bantu promosikan kawasan bazaar Ramadan ini.
"Kita niatkan untuk bantu penjaja di sini, memang pemerintah sudah buat silap, tapi masa berjalan, setiap hari peniaga di sini memerlukan pendapatan untuk selamatkan kehidupan mereka," katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Razlan yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh berkata, lokasi Dataran Merdeka agak terbuka dan panas dan tidak mesra pengunjung kerana tiada kompleks atau kedai-kedai berhampiran.
"Pengunjung selalunya tidak akan meredah panas semata-mata untuk mencari barangan di bazar ini, kalau dulu, sambil-sambil berjalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), ada kompleks dan kedai-kedai di sekitar kawasan, dan ianya menjadi tumpuan sebagai 1-Stop-Center untuk mencari keperluan menyambut Aidilfitri.
"Sekitar kawasan Jalan TAR juga dikelilingi bangunan, jadilah kawasan itu redup. Pejabat juga banyak, orang-orang bekerja boleh turun dari pejabat dan terus menuju ke Jalan TAR untuk 'window shopping' ataupun memilih barangan yang diperlukan," katanya.
Ujar Razlan, keadaan itu berbeza dengan tapak Bazar Ramadan Jalan Raja apabila dia menerima rungutan kepanasan di dalam khemah besar, ibarat terkepung kerana tidak masuk angin.
"Sepanjang 30 minit di situ, kipas pun tak berfungsi dengan baik, DBKL pula tak bagi buka penutup khemah di belakang, langsung tak masuk angin," katanya.