KEPALA BATAS - Siapa sangka, tuah menyebelahi warga emas, Md Zin Husin,71 apabila dia diumumkan sebagai pemenang utama hadiah pengunjung bertuah iaitu sebuah rumah teres satu tingkat bernilai RM500,000 sempena Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines, Bertam dekat sini pada Ahad.
Peniaga pakaian di pasar hari dari Pendang, Kedah itu mengakui hanya sekali sahaja mengisi borang penyertaan sewaktu berkunjung di karnival berkenaan bersama anak dan menantunya pada Sabtu lalu.
Menganggap 'durian runtuh' yang diterima itu sebagai rezeki paling bermakna sepanjang hidupnya, bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia hanya mengikut panduan yang diberikan oleh anaknya untuk memuat turun aplikasi Permodalan Nasional Berhad (PNB Events) sebelum menjawab soalan e-peraduan yang disediakan.
"Bila sampai sini rupanya banyak aktiviti menarik diadakan dan pak cik dapat banyak maklumat mengenai ilmu kewangan dan pelaburan," katanya ketika ditemui pemberita di selepas majlis penyampaian hadiah yang diadakan sempena majlis penutup MSAM pada Ahad.
Hadir menyampaikan hadiah, Timbalan Ketua Menteri I, Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dengan disaksikan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
Pada majlis itu, dua lagi pengunjung bertuah turut menerima hadiah lumayan yang disediakan iaitu surirumah, Normah Bunsu, 29, yang memenangi kereta Perodua Axia manakala pengubah bunga, Umi Kalsum Yaakub, 46, memenangi Motosikal Yamaha MT-25.
Normah yang berasal dari Miri, Sarawak berkata, setiap tahun dia dan suami tidak melepaskan peluang untuk menghadiri MSAM yang diadakan termasuk ketika di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Sungai Petani, Kedah.
Jelasnya, penyertaan peraduan pada penganjuran sebelum ini tidak membuahkan hasil, namun pada MSAM 2023 kali ini rezeki memihak kepadanya untuk memenangi kereta.
"Alhamdulillah, walaupun memang saya impikan hadiah utama namun tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan.
"Hadiah yang diterima ini boleh dianggap sebagai rezeki berganda buat kami sekeluarga selepas kami menimang cahaya mata kedua dua bulan lalu," katanya.
Lain pula kisah, Umi Kalsum dari Semenyih, Selangor yang pada mulanya curiga dengan panggilan diterima pada malam Sabtu dengan memaklumkan dia memenangi sebuah motosikal.
Ibu kepada lapan cahaya mata itu menyangka pangilan yang diterima daripada 'scammer', namun apabila pemanggil menerangkan lebih lanjut mengenai peraduan yang disertai baharu dia yakin dan gembira dengan perkhabaran diterimanya.
"Kami singgah ke MSAM 2023 ketika datang bercuti di Pulau Pinang pada Rabu lalu dan balik ke Semenyih pada Jumaat lepas. Namun siapa sangka rezeki membawa kami semula ke sini pada hari ini.
"Buat masa ini, saya belum fikirkan lagi nak beri hadiah ini kepada anak yang mana satu tapi kami sekeluarga rasa teruja sangat dengan hadiah yang diterima," katanya.
Sementara itu, seorang guru, Adam Zulkifli yang mengunjungi MSAM 2023 pada hari terakhir bersama isteri dan dua anaknya tidak menyangka akan membawa pulang kereta Toyota Vios 1.5G AT bagi cabutan harian pada sebelah petang.
Beliau berkata, kesempatan mengisi masa hujung minggu selain lokasi karnival berhampiran dengan rumah membuatkan dia sekeluarga singgah ke MSAM pada tengah hari tadi bagi melihat pameran dan menyertai aktiviti yang diadakan.
"Memang saya tahu pelbagai hadiah menarik disediakan sepanjang MSAM 2023, namun tak terfikir pula saya berjaya membawa pulang hadiah sebesar ini.
"Alhamdulillah, rezeki untuk kami sekeluarga...Terima Kasih PNB untuk hadiah bermakna ini," ujarnya.
Bagi sesi penyampaian hadiah pada sesi petang disampaikan oleh Timbalan Presiden & Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PNB, Datuk Mohd Nizam Zainordin.
MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.
Karnival selama sembilan hari itu melabuhkan tirai pada Ahad dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1.4 juta secara keseluruhan.
Karnival itu juga berlangsung secara hibrid dan pengunjung yang tidak dapat hadir boleh mengikutinya secara langsung di laman media sosial rasmi MSAM iaitu di Facebook dan YouTube.