KUALA LUMPUR - Konflik 'Taufan Al-Aqsa' disifatkan sebagai panggilan untuk negara-negara Arab agar mempertimbangkan semula dan menghentikan sebarang usaha normalisasi atau kerjasama dengan Israel.
Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor memaklumkan, kesucian masjid Al-Aqsa dan hak saudara penduduk Palestin harus didahulukan berbanding kepentingan politik atau ekonomi.
"Nama ini bukan sahaja menandakan tindak balas terhadap penindasan selama beberapa dekad terhadap rakyat Palestin dari sudut kemanusiaan tetapi juga dari perspektif rohani dan teologi. Al-Aqsa mempunyai kepentingan yang sangat besar sebagai kiblat pertama bagi umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menggesa negara-negara majoriti Islam dan negara bukan Arab lain meningkatkan kesedaran tentang isu Al-Aqsa.
"Suara kolektif kita boleh menjadi kuasa yang kuat. Kita telah menyaksikan pada masa lalu bagaimana Israel diganggu oleh pergerakan media sosial Malaysia dengan hashtag #IsraelKoyak.
"Kami sekali lagi boleh menunjukkan sokongan kami yang tidak berbelah bahagi.
"Kita mesti bersatu di sebalik usaha ini dan memastikan bahawa suara kita, secara individu dan kolektif, bergema di seluruh dunia,” katanya.