Junior Eldstal tekad ulangi magis edisi 2013

Iklan
Junior Eldstal

TONGGAK pertahanan Harimau Malaya, Junior Eldstal tekad mengulangi detik manis membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada edisi 2023 yang dijadual berlangsung Jumaat dan 17 Oktober ini.

Pemain kelab Liga 1 Indonesia Dewa United itu berkata, pencapaian yang dilakar bersama skuad Harimau Muda pada edisi 2013 di Kuantan, Pahang merupakan antara memori indah sepanjang kariernya di atas padang.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu mahu ulang balik, ketika itu saya dapat jaringkan gol lagi ketika bermain sebagai pemain tengah tetapi sekarang nak naik di bahagian atas agak sukar.

"Harap-harap kita mampu melakar satu lagi sejarah pada edisi kali ini,” katanya kepada pemberita pada hari kedua kem latihan pusat Harimau Malaya di sini hari ini.

Iklan

Junior merupakan penjaring kedua Malaysia pada masa kecederaan babak kedua sewaktu membantu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mengesahkan kejuaraan buat kali ke-12 dengan menewaskan Myanmar 2-0 pada final edisi 2013, yang juga kali terakhir kejohanan itu berlangsung.

Meskipun menyedari persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, pemain berusia 32 tahun itu optimis hubungan baik beliau dengan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon sedikit sebanyak membantunya untuk diberikan kepercayaan diturunkan pada edisi ke-42 kejohanan itu nanti.

Iklan

Beliau berkata prestasi memberangsangkan skuad kebangsaan mengikat dua pasukan di kelompok 100 dunia iaitu Syria (ke-90) 2-2 dan China (ke-81) 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu bulan lepas melonjakkan semangat mereka untuk tampil lebih garang pada Pestabola Merdeka 2023.

Muka baharu yang juga penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin pula tidak menyangka prestasi baiknya musim ini dapat memikat hati Pan Gon untuk dipanggil menyertai kem latihan pusat kali ini.

"Pada mulanya memang gementar namun lama-kelamaan perasaan itu hilang selepas dapat cipta keserasian dengan pemain lain,” katanya yang berharap dapat menjelmakan aksi cemerlang sekiranya diturunkan kelak.

Malaysia, yang muncul pasukan paling banyak memenangi Pestabola Merdeka dengan 12 gelaran, akan membuka tirai saingan 2023 menentang India Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejohanan empat pasukan itu juga akan menyaksikan Palestin menentang Tajikistan dalam satu lagi perlawanan bagi penentuan untuk ke final sama ada menentang Malaysia atau India pada 17 Oktober. - Bernama