BARU-baru ini, heboh di media sosial mengenai tindakan kerajaan Indonesia mengharamkan penggunaan ‘beg kuning’ atau perkhidmatan beli-belah secara online melalui aplikasi TikTok.
Penulis sempat menelaah beberapa petikan video pendek tular di X dan Facebook mengenai ucapan ringkas Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo berhubung langkah penutupan TikTok Shop di negara itu.
Beliau berkata, ia merupakan satu bentuk jajahan ekonomi era baharu sehinggakan tidak ramai menyedarinya berikutan penentuan harga predatori atau tidak masuk akal terhadap barangan import.
Menurut Jokowi, dalam beberapa bulan sahaja, negara itu sudah mencapai 123 juta jumlah pengguna aktif yang menggunakan TikTok Shop selain menyifatkan gelagat membeli rakyatnya begitu hebat.
Sehinggakan syarikat pencipta aplikasi berkenaan iaitu ByteDance yang berpangkalan di China itu berupaya menguasai dan mempengaruhi tingkah laku, aliran serta mod pembelian penggunanya.
Tambah beliau, rakyat Indonesia diingatkan supaya tidak seharusnya sekadar menjadi penjual produk dari China kerana harganya yang murah berbanding kedai tempatan, sebaliknya perlu bergerak sebagai pengeluar produk di negara sendiri.
Hal ini kerana, Indonesia dengan populasi penduduk seramai 278 juta itu mempunyai potensi untuk menghasilkan produk sama seperti yang diimport dari China.
Oleh kerana TikTok juga popular di Malaysia, adakah langkah sama akan diambil di negara kita?
Difahamkan, kerajaan Malaysia akan meneliti terlebih dahulu tindakan Indonesia mengharamkan transaksi TikTok Shop sebelum merangka beberapa langkah sesuai.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga pernah menerima aduan orang awam yang menzahirkan kegusaran sekiranya tindakan tersebut akan dilaksanakan, namun beberapa gedung besar turut membangkitkan isu mengenai persaingan harga terhadap produk dijual menerusi TikTok Shop.
Sebagai tindakan awal, beliau akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta kementeriannya untuk meneliti asas langkah yang dilakukan Indonesia.
Isu tersebut turut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet, ada yang menyokong sekiranya ia dilaksanakan, namun tidak kurang juga mengecam.
Menerusi penelitian di media sosial Facebook, rata-rata bersetuju dengan tindakan pemimpin Republik itu selain berharap ia juga dilaksanakan di Malaysia.
Hal ini kerana, segelintir pengusaha yang menjalankan perniagaan secara fizikal menjual produk tempatan merasakan impaknya apabila terpaksa bersaing dengan penjual di TikTok Shop.
Tidak kurang juga dalam kalangan mereka terpaksa menutup kedai atau operasi perniagaan kerana tidak mampu menandingi harga tidak masuk akal yang ditawarkan di platform e-dagang itu.
Daripada sudut peniaga, mereka perlu melunaskan komitmen bulanan seperti bayaran sewa kedai, bil elektrik, air, cukai, lesen perniagaan dan gaji pekerja menyebabkan ada di antara mereka tidak mampu bertahan sedangkan penjual di TikTok Shop tidak perlu menanggung beban kewangan seperti itu.
Bila difikirkan kembali, betul juga apa yang diluahkan peniaga produk di kedai, sesiapa pun akan runsing dan marah gara-gara ‘beg kuning’ mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna sehingga mengganggu kitaran ekonomi tempatan.
Namun, pada perspektif TikTok Shop, mereka berhak dengan hasil itu kerana pengusaha sudah bertungkus-lumus memerah idea, mencipta strategi pemasaran dan kandungan kreatif untuk menaikkan jualan produk.
Tambahan pula, pengguna sudah mula serasi dengan sesi penjualan di TikTok Shop yang sering menawarkan harga lelong ditambah dengan pemberian baucar, transaksi urus niaga efisien, mudah dan barang diterima tepat pada masa.
Melalui TikTok Shop juga, pembeli mendapat banyak kelebihan apabila membeli ketika harga ‘durian runtuh’ kerana diskaun yang berbaloi-baloi.
Tetapi dalam masa sama, diibaratkan seperti ‘menjerut leher’ penjual kerana perlu berkira-kira tentang jumlah keuntungan yang berkemungkinan tidak lumayan selain mengambil kira yuran penggunaan TikTok Shop.
Kesimpulannya, apa pun keputusan kerajaan, ia perlu mengambil kira pelbagai sudut supaya tiada mana-mana pihak yang terkesan dengan tindakan itu.
* Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian