Terpesona melihat awan karpet

Iklan
Pemandangan skywalk terpanjang di ASEAN dari tingkat paling tinggi.

SHAH ALAM - Sesiapa yang pernah berkunjung ke Betong, Thailand tidak lengkap perjalanan pasti jika tidak singgah di Skywalk Ayerweng.

Apa yang menariknya Ayerweng ini? Di sana anda berpeluang merasai pengalaman melihat ‘awan karpet’ atau 'awan nano' yang terbentang luas dan sangat menakjubkan menerusi skywalk terpanjang di ASEAN.

Iklan
Iklan

Ia terletak di puncak bukit Ayerweng pada ketinggian 676 meter dari aras laut dan dinobatkan sebagai lokasi 'lautan awan' yang tercantik di Selatan Thailand.

Dalam trip kembara santai ke Betong pada Sabtu minggu lalu, ahli kelab motosikal Bunian Bikerz tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahan alam di atas puncak bukit itu.

Iklan

Enam rakan menyertai trip kali ini yang bermula di R&R Rawang.

Di Betong, empat lagi rakan sudah menunggu kerana mereka memulakan perjalanan dua hari sebelumnya dengan memasuki Dannok terlebih dahulu.

Pemandangan dari pelantar skywalk yang terpanjang di ASEAN.

Iklan

Ada dalam kalangan ahli yang pernah beberapa kali ke Ayerweng tetapi 'ketagih' untuk melihat pemandangan yang menakjubkan itu.

Cuma kali ini kami memilih untuk menyewa tuk-tuk dengan bayaran 1,200 baht (RM153) untuk ke sana.

Jam 5 pagi sudah berkumpul di luar hotel. Perjalanan memakan masa hampir sejam dengan keadaan jalan yang bengkang-bengkok seperti ular dipalu.

Sepanjang perjalanan ke Ayerweng dikawal pihak tentera yang lengkap bersenjata. Satu pemandangan yang asing dan sesekali mendebarkan dada.

Sampai di pit-stop pertama, kami bersarapan dahulu sambil membetulkan urat pinggang akibat lenguh menaiki tuk-tuk.

Untuk sampai di puncak, ada dua cara iaitu menggunakan tuk-tuk rasmi atau ojek motor.

Bayaran untuk naik sebanyak 30 baht seorang dikenakan, manakala turun 20 baht.

Untuk masuk ke skywalk, perlu membayar 200 baht dan 30 baht untuk sarung kasut yang wajib dipakai.

Sampai atas di menara sudah ramai pengunjung beratur untuk masuk. Panorama sangat cantik dan menakjubkan. Kami terus mendaki tangga naik tingkat atas sekali.

Lif disediakan untuk warga emas dan orang kurang upaya. Memang berbaloi naik ke sini walaupun agak mengah mendaki anak tangga.

Hilang segala pening kepala dan rasa mual akibat jalan bengkak-bengkok apabila melihat keindahan alam ciptaan ALLAH SWT.

Penulis (kiri) bersama ahli Bunian Bikerz yang menyertai aktiviti kembara santai ke Betong, Thailand pada Sabtu minggu lepas.

Pandangan sebeginilah yang membuat ramai pelancong berpusu-pusu hadir ke sini terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Bayangkan, kita bagaikan berada di atas awan yang menyelimuti lembah-lembah di sekitar kawasan pergunungan pada awal pagi.

Pemandangan ini umpama syurga di bumi kerana selain melihat pemandangan berkabus yang indah, kita juga boleh merasai udara segar.

Skywalk Ayerweng dibina untuk membolehkan pelancong melihat pemandangan dalam 360 darjah.

Lantai koridor sepanjang 61 meter adalah lantai kaca jernih untuk membolehkan pengunjung melihat ke bawah.

Sudah tentu kami teruja dan tidak melepaskan peluang untuk berfoto sebagai kenangan.

Selepas hampir dua jam berada di Skywalk Ayerweng, kami mengambil keputusan untuk pulang bersiar-siar di pekan Betong.

Sebahagian ahli Bunian Bikerz bergambar di Skywalk Ayerweng.

Kembara santai bersama rakan-rakan Bunian Bikerz menyedarkan penulis berkenaan kebesaran Ilahi.

Selain itu, nasihat kepada penunggang yang selalu konvoi supaya berhati-hati dan patuhi undang-undang jalan raya.