RINGGIT memulakan urus niaga pagi ini rendah berbanding dolar AS apabila dolar AS mengukuh berikutan minat baharu dalam kalangan pelabur berikutan krisis di Timur Tengah, kata seorang penganalisis.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.7150/7200 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat lalu pada 4.7115/7155.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Ssial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, permintaan terhadap dolar AS telah meningkat kerana perkembangan terbaharu dalam konflik Israel-Palestin dijangka menjadi tumpuan hari ini.
Pada masa yang sama, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wanga tempatan turun berbanding yen pada 3.1619/1657 daripada 3.1612/1641, susut berbanding euro kepada 4.9847/9900 daripada 4.9720/9763 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.7622/7683 daripada 5.7494/7543 penutupan urus niaga Jumaat lepas.
Berbanding mata wang Asia yang lain, ringgit turut diniagakan lebih rendah kecuali berbanding peso Filipina, menyaksikan ia menambah nilai kepada 8.31/8.33 berbanding penutupan Jumaat pada 8.32/8.33.
Ringgit menyusut berbanding baht Thai menjadi 12.7525/7706 daripada 12.7200/7367, lemah berbanding rupiah Indonesia pada 301.9/302.4 daripada 301.7/302 dan merosot berbanding dolar Singapura pada 3.4519/4559 daripada 3.4458/4493 sebelumnya. - Bernama