KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tindakan graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke mengaib dan membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselornya ketika istiadat konvokesyen empat tahun lalu mengundang padah apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Bekas Pengerusi Persatuan Pemuda Baru (UMANY) berusia 27 tahun itu dikenakan hukuman terbabit selepas Majistret, Illi Marisqa Khalizan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Ketika memutuskan keputusan berkenaan, Illi Marisqa berkata, alasan yang diberikan untuk menjustifikasi perbuatan itu tidak dapat mematahkan kes mengikut seksyen itu.
Menurutnya, mahkamah tidak bersetuju bahawa tertuduh tiada pilihan ketika mengutarakan pandangannya, golongan mahasiswa, pensyarah dan persatuan melalui tunjuk aksi semasa majlis konvokesyen.
"Ada cara lain yang boleh dilakukan sebelum mengambil jalan sebegini, alasan itu tak dapat menjustifikasikan perbuatan tersebut.
"Pembelaan juga tidak dapat menyangkal bahawa tertuduh berniat dan mempunyai pengetahuan untuk lakukan kesalahan itu,” katanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat setimpal dengan kesalahannya.
Menurutnya, pendakwaan percaya mahkamah akan pertimbangkan kepentingan umum agar tiada perbuatan biadab dilakukan dalam majlis rasmi.
"Hukuman kelak diharap dapat memberi pengajaran agar tiada tindakan di luar batasan moral dilakukan individu berpendidikan tinggi.
"Selain itu, perbuatan biadab ini tidak menjadi amalan serta ikutan anak muda di universiti,” katanya.
Selain Noor Haslinda, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fahirah Nor Jihan Mukhtar.
Sementara itu, peguam, T Sashi Devan yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda tanpa pemenjaraan.
Menurutnya, Yan Ke akan melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Keadilan Jenayah di Fakulti Undang-undang UM minggu depan.
"Kami memohon, dia diberi peluang untuk menyambung pelajaran tanpa ganguan dan berharap mahkamah bersimpati dengannya,” kata peguam itu.
Pada 26 Februari 2020, Yan Ke mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim (ketika itu) dan tetamu dalam istiadat Konvokesyen ke-59, Sidang Kelima.
Ia mungkin membangkitkan kemarahan dan menyebabkan memecahkan keamanan awam di Dewan Tuanku Canselor, UM, pada jam 10 pagi, 14 Oktober 2019 lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seramai 13 saksi telah memberi keterangan di peringkat pendakwaan manakala seramai dua saksi termasuk Yan Ke ketika pembelaan.
Pada 5 April 2022, Mahkamah Majistret memerintah tertuduh membela diri atas pertuduhan itu.
ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Biadab! Graduan protes di pentas konvo
ARTIKEL BERKAITAN: Universiti ada kuasa ambil tindakan ke atas graduan biadab
ARTIKEL BERKAITAN:UM tidak tahan transkrip atau tarik balik ijazah Yan Ke
ARTIKEL BERKAITAN:Protes graduan UM bukan jenayah, kata Adam Adli
ARTIKEL BERKAITAN:Polis siasat kes graduan protes di pentas konvokesyen
ARTIKEL BERKAITAN:'Tindakan saya hanya untuk demokrasi kampus'