Tuanku Muhriz titah wakil rakyat jangan amal politik dendam

Iklan
Tuanku Muhriz bertitah pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-15.

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya semua wakil rakyat tidak berbalah dan mengamalkan politik dendam.

Baginda menegaskan bahawa mandat yang diberikan merupakan amanah yang perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab.

Iklan
Iklan

"Ahli-ahli Yang Berhormat perlu fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

"Jangan berbalah dan mengamalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada matlamat utama untuk memajukan negeri yang tercinta ini," titahnya pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15 pada Isnin.

Iklan

Turut berangkat, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Iklan

Titahnya, kewajipan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti serta mengutamakan kepentingan negeri tanpa ada agenda kepentingan mana-mana parti politik ataupun peribadi.

Baginda bertitah, perancangan dan pelaksanaan dasar perlu disegerakan agar rakyat negeri ini terus terbela kehidupannya dalam suasana masyarakat yang harmoni dan selamat.

"Kamu (wakil rakyat) perlu sensitif dengan hasrat dan pandangan rakyat yang disuarakan melalui pelbagai ruang dan platform yang telah tersedia. Ketahuilah bahawa kamu sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat.

"Oleh yang demikian, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama dengan mematuhi peraturan-peraturan tetap dewan sepanjang persidangan berlangsung," titahnya.

Titahnya lagi, ahli-ahli dewan diingatkan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Selain itu baginda bertitah, golongan itu perlu menyambut baik permuafakatan tercapai dalam kalangan pimpinan parti untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

"Dengan demikian, kerajaan Negeri Sembilan boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi membangunkan kemajuan negeri dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat.

Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15

"Hasil kerjasama dan komitmen semua pihak dalam melaksanakan dasar dengan tadbir urus yang baik, negeri ini kekal sebagai destinasi pilihan pelabur," titahnya.

Baginda bertitah, ia jelas terbukti melalui pencapaian pelaburan tertinggi direkodkan iaitu sebanyak RM8.9 bilion pada tahun 2022, peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding RM5.8 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Titahnya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga menunjukkan perkembangan positif di mana Negeri Sembilan berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 6.4 peratus pada tahun 2022, berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya (2021).

"Sumbangan terbesar KDNK negeri adalah daripada sektor perkhidmatan (51.5 peratus) dan pembuatan (38.1 peratus) yang menjadi asas kepada matlamat kita ke arah negeri berpendapatan tinggi.

"Bagaimanapun sumbangan sektor lain seperti pertanian, terutamanya sub sektor agro-makanan, harus dipertingkatkan sebagai agenda pembangunan yang akan memberi limpahan ekonomi dan sumber bekalan makanan bukan sahaja kepada penduduk negeri ini, malah di sekitar Lembah Klang," titahnya.

Dalam pada itu titahnya, kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak telah membolehkan kerajaan beta berjaya melaksanakan kutipan hasil sebanyak RM521.22 juta, bersamaan 20.65 peratus melebihi sasaran untuk tahun lalu iaitu RM432 juta.

Titah baginda, pencapaian ini sekali gus mengubah belanjawan Tahun 2022 daripada defisit RM88 juta kepada surplus RM31 juta," titahnya.