KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri masih mempertimbangkan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang akan berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan meneliti keperluan itu dalam tempoh terdekat berpandukan kriteria yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Untuk ADUN lantikan kita akan pertimbang untuk dibuat lantikan berdasarkan kriteria-kriteria yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Kita masih pertimbang dan tidak menolak malah sedang meneliti perkara ini untuk lihat keperluannya dalam tempoh terdekat ini, insya-ALLAH," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 peringkat negeri di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.
Menurut Ahmad Samsuri, jumlah maksimum ADUN lantikan melibatkan seramai empat orang berpandukan syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, katanya, rakyat berperanan menjadi semak dan imbang kerajaan dan bebas menegur sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.
"Kita ada pelbagai medium untuk salurkan pendapat. Setiap agensi dan jabatan mereka ada sistem perhubungan masing-masing.
"Sama ada melalui apa jua portal atau website yang menerima pandangan-pandangan, kritikan atau teguran yang disalurkan mengikut saluran yang betul," katanya.
Ahmad Samsuri sebelum ini dilaporkan berkata, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 yang berakhir pada Rabu minggu lalu berjalan sempurna serta mampu menjadi elemen semak dan imbang kepada kerajaan walaupun tanpa pembangkang.
Menurut ADUN Ru Rendang itu, peranan semak dan imbang boleh dimainkan semua rakyat untuk sentiasa memberi cadangan, ulasan dan kritikan menerusi medium media baharu kepada kerajaan negeri.
Tambah beliau, sistem semak dan imbang telah lama wujud menerusi pengasingan kuasa eksklusif, legislatif dan kehakiman sedia ada.