SHAH ALAM - Muslim Care Malaysia (MCM) melancarkan tabung mengumpul dana bagi menampung kos pembinaan masjid baharu untuk menggantikan Masjid Muhammad Al Amin yang musnah akibat serangan tentera zionis di Palestin.
Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya akan menghantar dana kecemasan sebanyak RM100,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia sebagai bantuan segera kepada rakyat di sana.
"Biarpun berasa amat sedih apabila diberitahu Masjid Muhammad Al Amin musnah akibat dibom tentera Zionis Israel pada Ahad iaitu 8 Oktober 2023, ia sama sekali tidak melunturkan semangat pihak kami untuk terus membantu rakyat Palestin.
"Satu masjid mereka (Zionis) runtuhkan, 10 masjid kita bangunkan. Insya-ALLAH, untuk situasi mendesak ketika ini kami akan salurkan segera RM100,000 kepada rakyat Palestin melalui Pengerusi MCM Palestin, Ahmad Abu Ayesh yang berpusat di Gaza," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, lebih daripada 123,000 rakyat Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dengan kira-kira 74,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia susulan serangan udara tentera zionis Israel bertindak balas terhadap serangan pejuang Hamas pada Sabtu.
Sementara itu, Zulkifli berkata, hasil lawatan Ahmad Abu Ayesh di tempat kejadian mendapati masjid itu ranap 100 peratus serta tidak boleh lagi digunakan.
Ujarnya, sejurus berita kemusnahan masjid tersebut dikongsikan kepada rakyat Malaysia melalui platform media sosial MCM, maklum balas yang diterima sangat positif dan mengharukan.
"Alhamdulillah, hampir semuanya memberikan kata-kata semangat dan mahukan MCM membina sebuah masjid baru bagi menggantikan Masjid Muhammad Al Amin. Insya-ALLAH hasrat mereka akan kami laksanakan.
"Sumbangan untuk pembinaan masjid di Gaza boleh disalurkan ke akaun Muslim Care Malaysia 07016010077651 (Bank Islam) atau 564490211159 (Maybank) dengan rujukan Masjid Palestin,” jelasnya.