ATLET Kenya, Kelvin Kiptum muncul sebagai pelari maraton terpantas menerusi rekod baharu dunia apabila melepasi garisan penamat dengan catatan 2:00:35 di Chicago, Amerika Syarikat pada Ahad.
Pelari berusia 23 tahun itu juga menjadi pelari pertama mencatat larian di bawah 2:01:00.
Kiptum menamatkan perlumbaan tiga minit 30 saat di depan pesaing terdekat, Benson Kipruto dari Kenya dan Bashi Abdi dari Belgium.
"Saya tahu akan memecahkan rekod, tetapi tidak menyangka ia rekod dunia yang amat menggembirakan saya.
"Rekod dunia bukan sasaran, tetapi saya tahu suatu hari nanti saya akan memilikinya,” ujar Kiptum.
Dia mencipta rekod dunia itu pada larian maraton ketiga yang disertai dalam kariernya selepas Maraton London 2023 pada April dan Maraton Valencia 2022 akhir tahun lalu.
Kedua-dua acara maraton itu disudahinya dengan catatan masa 2:01:25 dan 2:01:53 untuk meletakkannya sebagai pemenang.
Rekod dunia sebelum ini dipegang oleh rakan senegara Kiptum, Eliud Kipchoge menerusi catatan masa 2:01:39 serta 2:01:09 yang dilakukan di Maraton Berlin pada tahun 2018 dan 2022.