Penarikan tauliah Ahmad Dusuki: MAIS nafi berbohong

Iklan
Ahmad Dusuki (kiri), Abdul Aziz (kanan)

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyelar kenyataan dimuat naik penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abdul Rani di laman sosial Facebook yang mendakwa pihak berkuasa agama itu berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kenyataan penceramah itu mempunyai unsur fitnah dan dibuat tanpa memahami maksud serta hikmah larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam yang dikuatkuasakan di negeri ini.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, katanya, MAIS menasihatkan masyarakat Islam untuk cakna dan memahami maksud serta tujuan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memberi perkenan tauliah mengajar agama Islam kepada aktivis politik.

"MAIS menjelaskan bahawa aktivis politik yang dimaksudkan dalam larangan ini tidak terhad kepada orang yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Iklan

"Larangan ini juga merangkumi mereka yang menjalankan apa-apa aktiviti yang secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan dan fanatik terhadap sesuatu parti politik serta berpuak-puak dalam kalangan masyarakat Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, daripada siasatan dibuat dan pengesahan tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), MAIS mendapati penceramah terbabit tergolong dalam aktivis politik yang dimaksudkan tersebut.

Iklan

Jelas beliau, larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam ini dibuat bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik.

"Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya penyebaran propaganda politik yang berunsur fitnah dan kebencian kerana ia menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat Islam.

"Ini adalah suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’i’," tegas beliau.

Abdul Aziz berkata, pihaknya menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa larangan itu sebagai suatu sekatan terhadap dakwah dan pengajaran agama Islam di negeri ini.

Katanya, MAIS ingin memastikan dakwah agama Islam disampaikan oleh aktivis politik bersikap partisan digantikan dengan pemegang tauliah lain yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam agama Islam tidak bersikap partisan.

Dalam pada itu, katanya, seramai 5,682 pemegang tauliah yang aktif di Selangor pada masa ini.

Jelas beliau, penarikan balik tauliah terhadap aktivis politik bermula tahun lalu hanya melibatkan sejumlah 26 orang iaitu 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang tauliah.

"Justeru, larangan ini tidak sama sekali menjejaskan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam di negeri Selangor.

"MAIS juga sentiasa komited untuk memastikan aktiviti dakwah dan pengajaran agama Islam terus subur sebagai medan penyebaran ilmu serta bebas daripada propaganda politik," tegas beliau.

Katanya, MAIS menasihatkan semua pihak sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghina, mengingkari atau mempertikai titah Sultan Selangor atau arahan MAIS.

"Ini merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," jelas Abdul Aziz.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis yang memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ahmad Dusuki.

Abdul Aziz berkata, MAIS memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan tersebut atas alasan rayuan yang difailkan itu hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ahmad Dusuki telah tamat pada 30 Jun lalu.