Tak patut potongan pemutuan padi 20 peratus - Pesawah

Iklan
Gambar kecil dari kiri: Mohd Noor, Khairul Anuar, Salleh

ALOR SETAR - Pesawah di sini memohon perhatian kerajaan untuk membantu mengurangkan kadar pemotongan pemutuan padi yang melebihi 20 peratus yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka setiap musim.

Seorang pesawah, Khairul Anuar Yusof, 44, mendakwa, pemotongan pada kadar tersebut telah berlaku tiga musim berturut-turut dan berharap pihak berwajib dapat turun padang memantau perkara berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar pemutuan potongan harga padi juga boleh mencecah 22 hingga 23 peratus berdasarkan penilaian pemilik kilang apabila padi dihantar ke kilang mereka.

"Dahulu harga padi RM700 hingga RM800, potongan sekitar 14 peratus sahaja. Bila harga padi meningkat potongan juga meningkat dan sekarang sudah tiga musim potong 20 peratus.

Iklan

"Satu tan padi kalau potong 20 peratus sudah potong 200 kilogram (kg) padi. 200kg padi kalau tuang dalam petak padi dah banyak mana. Cuba bayangkan (jumlah tersebut dipotong). Memang tidak patut peratus pemutuan padi ini cecah 20 peratus," katanya semasa ditemui di Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus, dekat sini.

Perkara sama dipersetujui oleh pesawah, Salleh Ali, 60, yang menjelaskan bahawa pesawah juga kini terkesan dengan kenaikan kos bagi mengusahakan tanaman padi dan penurunan mendadak harga padi pada hari ini juga terus memberikan tekanan kepada mereka.

Iklan

Menurutnya, kadar potongan tersebut kekal pada musim hujan mahupun pada musim panas, justeru kadar pemotongan pemutuan padi sebanyak 20 peratus itu perlu disemak semula kerana dianggap terlalu tinggi.

"Kami petani tahu padi yang dihasilkan itu kualitinya macam mana dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu turun padang dalam memantau isu yang telah menekan pesawah sejak sekian lama," ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Kuar Jawa, Mohd Noor Hassan berkata, luahan oleh pesawah perlu diberikan perhatian oleh semua pihak berkaitan termasuk pemimpin kerajaan.

Menurutnya, penurunan harga padi yang sebelum ini diumumkan pada harga RM1,700 sebelum turun kepada RM1,250 per tan jelas menimbulkan rasa tidak puas hati pesawah.

"Tidak boleh para pesawah dibuli sampai bila-bila. Para pesawah berkumpul adalah untuk meluahkan rasa hati mereka.

"Jika kerajaan tidak dapat menaikkan semula harga padi kepada RM1,700, mereka harap kadar dapat dipertimbangkan kepada RM1,500 kerana masih banyak padi yang belum dituai," ujarnya.