PORT DICKSON - Seramai 17 pelajar perempuan Madrasah At-Taufiqiyyah terselamat selepas sebuah rumah yang dijadikan asrama musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Bagan Pinang di sini pada Isnin.
Ketua Balai dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.30 pagi melibatkan sebuah rumah berukuran 20×50 kaki persegi.
"Jentera dan pasukan dari Balai Bomba Port Dickson Teluk Kemang dan Seremban bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.
"Sebaik tiba, kesemua penghuni asrama terbabit telah pun keluar menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba," katanya.
Menurutnya, bomba dapat menyelamatkan bangunan asrama di bahagian belakang dan bangunan bersebelahan apabila berjaya mengawal api daripada terus merebak.
Ujarnya, operasi tamat pada pukul 12.30 tengah hari dan punca kejadian masih dalam siasatan.