TEL AVIV - Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant di bawah kerajaan ekstremis pada Isnin mengarahkan 'pengepungan sepenuhnya' ke atas Genting Gaza ketika rejim Zionis memperhebatkan operasi serangan balas ke atas Hamas.
"Gaza akan menjadi 'bandar mati', tiada bekalan elektrik, tiada bekalan makanan, minuman atau gas. Segala-galanya kini disekat dan kepungan ke atas wilayah tersebut semakin diperketatkan. Kita bertindak sewajarnya," ujarnya menerusi satu kenyataan video.
Sehari sebelum itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumpulkan kira-kira 100,000 anggota tentera simpanan berhampiran Genting Gaza.
"Tugas kami adalah untuk menamatkan perang ini. Hamas tidak akan mempunyai sebarang keupayaan untuk mengancam Israel. Selain itu, kami juga akan memastikan ia tiada lagi kuasa mentadbir Genting Gaza," kata jurucakap IDF, Jonathan Conricus.
Ketika ini, pertempuran sengit yang masuk hari ketiga masih berterusan di beberapa lokasi di Genting Gaza.
"Kami akhirnya dapat memegang 'kawalan penuh' komuniti di selatan walaupun musuh belum berjaya diusir," kata seorang lagi jurucakap IDF, Daniel Hagari.
Israel masih menggunakan 'taktik lama' membunuh orang awam tidak berdosa dengan melancarkan lebih 500 serangan udara dan artileri secara rawak atas alasan menyasarkan markas puak penentang Palestin termasuk gerakan Jihad Islam.
Dalam perkembangan lain, Jerman mengumumkan penggantungan sementara bantuan pembangunan di wilayah Palestin selepas ia melakukan penilaian.
Difahamkan, bantuan itu termasuk projek penyahgaraman, keselamatan makanan dan peluang pekerjaan yang dianggarkan bernilai 125 juta euro (RM623 juta).
Pemerintah Austria turut mengambil langkah sama kononnya sebagai respons terhadap tindakan berani mati Hamas melancarkan serangan berskala besar ke atas Israel.
Menteri Luar, Alexander Schallenberg berkata, tindakan itu akan menyekat bantuan kewangan berjumlah 19 juta euro (RM95 juta) dan Vienna juga akan menyemak semula kesemua projek di wilayah Palestin serta berunding dengan Kesatuan Eropah (EU) dan rakan antarabangsa lain. - AFP