PPRPD harap kerajaan pertimbang cadangan naikkan gaji konstabel

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Gaji minimum anggota polis berpangkat rendah khususnya konstabel pada ketika ini dianggap tidak setimpal dengan keperluan ekonomi semasa.

Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD), Sub Inspektor Abd Rashid Ali berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan kenaikan gaji minimum sehingga RM1,500 bermula dari Skim Perkhidmatan Orang Asli dan Sokongan bagi membolehkan anggota-anggota polis mendapat gaji sewajarnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gaji pokok seorang konstabel bermula dari RM1,441, walaupun menerima elaun kira-kira RM600 hingga RM700 adalah tidak tetap dan berbeza mengikut cawangan penugasan.

"Di bawah Skim Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia ada tiga Skim iaitu Skim perkhidmatan konstabel dengan gaji permulaan RM1,441, skim perkhidmatan bagi jawatan konstabel Orang Asli RM1,334 dan Skim Perkhidmatan bagi jawatan konstabel sokongan RM1,220," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan tangga gaji permulaan anggota polis berpangkat konstabel berada di bawah paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.

Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya skim gaji permulaan bagi konstabel (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Cadangan berkenaan dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup khususnya bagi anggota pangkat rendah.

Iklan