KEJAYAAN UiTM United dalam penampilan sulung saingan Liga M4 merangkul kejuaraan Piala Al-Ikhsan 2023 selepas menjinakkan Yayasan Pahang Maintenance (YPM FC), 2-1 adalah hasil persiapan rapi pasukan.
Malah pengendali UiTM United, Mohd Yazli Yahya juga menyifatkan disiplin tinggi setiap pemain penyumbang kepada kemenangan The Lions Roars yang sebelum itu telah pun mengesahkan slot ke Liga M3 musim depan.
"Sememangnya kami menjangkakan berdepan YPM FC akan menjadi satu perlawanan yang sengit.
"Tambahan pula kami pernah berdepan YPM FC yang diperkuatkan pemain berpengalaman dalam aksi liga sebanyak dua kali sebelum ini.
"Alhamdulillah, perancangan taktikal kami barisan kejurulatihan berjaya diterjemahkan dengan baik setiap pemain,” katanya.
Dalam perlawanan akhir di Stadium UiTM Shah Alam itu, jaringan sendiri pemain UiTM United, Pengiran Mohamad Ilham minit ke-10 membolehkan pasukan pelawat terlebih dulu memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua anak buah Mohd Yazli meningkatkan tekanan ke atas skuad kendalian Syed Farul Hakim Syied Mahmud bagi memburu gol penyamaan.
Hasilnya Lions Roars dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Muhammad Fakhirur Razi pada minit ke-74.
Muhammad Fakhirur sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan dari Pahang itu apabila sekali lagi meledak dengan jaringan pada minit ke-107.