MOSCOW - Facebook telah mengumumkan bahawa susulan serangan ganas yang mengerikan di New Zealand, yang telah distrim secara langsung menerusi platform media sosialnya, ia akan memperketat peraturan terhadap mereka yang mencabul standard komunitinya dengan kandungan yang penuh kebencian, lapor agensi berita Sputnik.
"Hari ini kami memperketat peraturan yang digunakan terutama untuk siaran langsung. Kami akan menggunakan dasar ‘one strike’ bagi siaran langsung yang berkaitan dengan kesalahan lebih luas. Mulai saat ini, sesiapa yang melanggar dasar paling serius kami akan disekat daripada menggunakan siaran langsung bagi tempoh tertentu - contohnya selama 30 hari - mulai tarikh kesalahan pertama mereka," kata Guy Rosen, naib presiden Facebook bagi pengurusan produk, dalam satu hantaran blog pada Selasa.
Syarikat itu berkata ia juga akan turut memperluas sekatan tersebut bagi mencegah pihak yang menggalakkan ceramah kebencian daripada membuat iklan di Facebook.
Di samping itu, Facebook mengumumkan bahawa ia kini berkongsi dengan beberapa universiti Amerika Syarikat untuk menyelidik dan membangunkan teknologi yang boleh mengesan manipulasi media dari segi imej, video dan audio, dalam usaha mencegah kandungan kebencian yang terdapat di lamannya merebak menerusi pelbagai media.
Pada April, Facebook berkata ia telah menutup beberapa halaman yang dikaitkan dengan kumpulan yang mempromosi nationalisme kulit putih, menguatkuasakan satu larangan yang diumum syarikat itu pada Mac sebagai respons kepada insiden tembakan di New Zealand.
Inisiatif meluas gergasi media sosial itu untuk mengehadkan kandungan kebencian di laman sesawangnya dibuat susulan serangan ganas yang mengerikan di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac yang menyaksikan seorang lelaki yang mendukung pandangan nasionalis kulit putih, telah menembak mati 50 orang di dua buah masjid dan menyiarkan pembunuhan itu secara penstriman langsung di Facebook.
Sebelum penstriman langsung serangan itu, penembak telah memuat naik manifesti setebal 740 muka surat yang menyatakan kebenciannya terhadap umat Islam dan golongan pendatang.
Susulan insiden tembakan itu dan bantahan awam, Facebook telah dipersoal tentang ketiadaan langkah memperketat sekatan terhadap kandungan yang mungkin boleh menghalang hantaran manifesto kebencian penembak dan mungkin menghalang pembunuhan itu daripada berlaku.- Bernama