Penguatkuasaan pelesenan keluaran, edar tembakau diperkasakan

Iklan
Fadillah (dua dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kota Bharu pada Isnin.

KOTA BHARU - Pelaksanaan Pelesenan dan Penguatkuasaan Tembakau akan terus diperkasakan sebelum kerajaan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan itu menjelang tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut sedang dijalankan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Iklan
Iklan

"Pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk mencegah pengedaran tembakau dan keluaran tembakau secara tidak sah," katanya semasa berucap pada

Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sini, pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, pada masa sama, kolaborasi dan tindakan bersama agensi penguatkuasaan lain telah diadakan bagi meningkatkan keberkesanan agensi kerajaan.

Media sebelum ini melaporkan, seluruh peniaga rokok diingatkan supaya mendapatkan lesen bagi menjual barangan tersebut sebelum pelesenan dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun depan.

Iklan

LTKN sudah melaksanakan pendaftaran lesen tanpa melibatkan pengedaran rokok atau produk keluaran tembakau di semua premis di seluruh negara bermula tahun lalu.

Penguatkuasaan itu selaras dengan Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) dan Seksyen 39 (1) akta sama yang memperuntukan bahawa tiada seorang boleh dan mengedarkan atau keluarkan tembakau tanpa suatu lesen yang sah.

Dalam perkembangan lain, Fadillah memberitahu, sejak kenaf diperkenalkan pada 2010, industri berkenaan berjaya menghasilkan panel sistem binaan berindustrian (IBS) yang mendapat kelulusan Sirim Berhad dan piawaian antarabangsa.

Ujarnya, industri kenaf turut ditambah nilai kepada pengeluaran produk non-woven seperti tilam, bantal, cadar dan lain-lain produk dengan jenama sendiri serta kualiti.

"Bagi tempoh 10 tahun akan datang, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) telah digubal sebagai polisi pembangunan sektor komoditi negara dan kenaf ditakrifkan sebagai fiber semula jadi.

"Saya yakin, potensi industri fiber semula jadi dan biojisim di Malaysia yang merangkumi kenaf mampu berkembang dengan jayanya serta bergerak jauh ke hadapan selaras dengan kehendak global iaitu menekankan kepada aspek alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG)," ujarnya.