MELAKA - Seorang kedi golf wanita membuat laporan polis Jumaat lalu kerana mendakwa dirinya dicabul dua lelaki berpangkat pegawai tentera ketika sedang bekerja.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa berusia 21 tahun yang bekerja di sebuah kelab golf di Alor Gajah, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dua individu yang didakwa mencabul mangsa merupakan pegawai kanan tentera berusia 51 dan 52 tahun yang berkhidmat di sebuah kem tentera di Negeri Sembilan.
"Kedua-dua individu terbabit telah dipanggil untuk membantu siasatan.
"Polis turut menerima dua lagi laporan polis yang dibuat oleh suspek berusia 51 tahun yang menafikan kejadian itu dan satu laporan polis dibuat oleh rakan mangsa berusia 35 tahun," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.
Jelas beliau, berdasarkan laporan polis yang dibuat rakan mangsa menyatakan dia tidak melihat kejadian yang menimpa mangsa.
"Sehingga kini, polis masih meneruskan siasatan," ujarnya.