KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.
Bot terbabit di tahan kira-kira jam 1 tengah hari ketika bersauh di lokasi 21.2 batu nautika dari tenggara Kuala Kuantan pada Ahad.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, penahanan dilakukan anggota bot ronda Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan Op Makmur dan Op Tiris.
Menurutnya, anggota menahan bot terbabit untuk pemeriksaan setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat enam kru warga Vietnam termasuk tekong berusia antara 29 hingga 53 tahun berada di atas bot tersebut.
"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen dikemukakan mendapati dua kru tidak mempunyai permit kerja yang sah manakala empat lagi termasuk tekong memiliki permit yang meragukan," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.
Kamal Ariffin berkata, bot bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan 700 kilogram serta semua kru yang ditahan diiring masuk ke Jeti Penerpa, Kuantan Slipway di sini sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, kes terbabit disiasat bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.
"Pengusaha bot diingatkan agar mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan.
"Orang ramai juga diminta bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang 09-5717345 atau talian kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam," jelasnya.