KEHANGATAN Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 kian dirasai oleh bukan sahaja peminat bola jaring tempatan, malah di peringkat antarabangsa.
Kejohanan yang memasuki edisi ketiga hasil kolaborasi Astro, Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dan Sinar Harian itu akan berlangsung selama empat minggu di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur bermula 13 September hingga 5 Oktober ini.
Menariknya pada kali ini, para penonton bakal disajikan dengan aksi 11 pemain import dari tujuh negara, malah lebih mengujakan buat julung kalinya kejohanan itu akan menembusi pasaran global apabila beberapa aksi terpilih akan disiarkan di W-Sports (saluran 815) dalam ulasan bahasa Inggeris ke lebih 30 negara.
Ikuti temu bual Wartawan Sukan Sinar dengan Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John yang menyingkap kemeriahan NSL 2023.
Sukan Sinar: Apakah aspirasi utama Astro tampil menganjurkan NSL 2023 ?
Nicholas: Selepas kejayaan Sepak Takraw League (STL), Astro sentiasa berusaha untuk memperkasakan lagi sukan-sukan tempatan yang lain dan kali ini khas untuk golongan wanita pula.
Idea tercetusnya liga bola jaring menerusi kolaborasi Astro dan PBJM ini adalah untuk menyokong penglibatan wanita dalam bidang sukan serta menyediakan platform terbaik mencungkil bakat-bakat baharu dan juga mengilap permata bola jaring untuk negara.
Inisiatif dan revolusi bola jaring melalui NSL mampu dikembangkan menjadi liga profesional yang setaraf kedudukan, imej dan nilai komersialnya seperti sukan yang didominasi oleh golongan lelaki iaitu bola sepak atau bola keranjang.
Tidak mustahil satu hari nanti kita juga mampu mengikut langkah kuasa-kuasa besar seperti Australia dan New Zealand yang mempunyai liga bola jaring profesional yang cukup gah di mata dunia.
Sukan Sinar: Selain mengangkat mutu sukan bola jaring negara, apakah peranan lain Astro dalam memartabatkan golongan wanita dalam arena sukan negara?
Nicholas: NSL membantu memartabatkan dan memperkasakan peranan wanita dalam sukan untuk tampil penuh dengan berwawasan dan berkeyakinan tinggi.
Selain itu ia juga dapat meniup kembali semangat golongan wanita untuk bangkit, malah dapat meningkatkan kepimpinan wanita dalam badan sukan, kejurulatihan dan kepegawaian sukan.
Melalui NSL, Astro turut memberi peluang kerjaya buat bekas-bekas atlet atau atlet seperti Fariha Razak (Hos) dan Syen (Wartawan Sukan) di Astro Arena.
Selain itu, beberapa bekas pemain seperti Fazdun Abas, Noramirah Dayanah Noor Azhar dan Siti Nor Farhana Mustafa turut dipanggil untuk menjadi tetamu pakar bola jaring sebelum ini.
Majoriti kru-kru penerbitan siaran langsung NSL ini juga akan dipimpin oleh wanita.
Sukan Sinar: Apakah pencapaian yang boleh dibanggakan setakat ini setelah tiga tahun menganjurkan NSL?
Nicholas: Perjalanan sooka NSL masih jauh dan panjang, namun Astro dan PBJM optimis ini adalah langkah awal buat Malaysia mempunyai liga kompetitif dalam sukan ini.
Musim lalu menyaksikan hanya dua pemain import dari pasukan Johor Jewels dan ketika ini kelibat pemain import dari pasukan-pasukan lain seperti KL Wildcats, Putrajaya Dynamites, Perak Phoenix dan Negeri Sembilan Venom sebagai ‘penambah rencah’ NSL musim ini.
Musim ini kita membawakan 11 pemain import dari tujuh negara iaitu, Uganda, Afrika Selatan, Singapura, United Kindom, Thailand, Brunei dan Sri Lanka.
Buat julung kalinya, NSL akan menembusi pasaran global apabila perlawanan-perlawanan terpilih ini nanti akan disiarkan di W-Sports (saluran 815) dalam ulasan bahasa Inggeris.
Saluran ini memfokuskan pada kandungan sukan wanita dan disiarkan lebih 30 negara.
Sukan Sinar: Adakah perancangan lain dan program pembangunan akar umbi yang diadakan oleh Astro Arena untuk sukan bola jaring ini?
Nicholas: Pada musim lalu, Astro Reward telah mengadakan Klinik Bola Jaring buat pelangan-pelanggan Astro dalam kategori remaja bawah 15 tahun dan kategori terbuka untuk golongan lelaki.
Ia telah dikendalikan oleh pemain-pemain NSL yang juga pemain kebangsaan.
Pada kali ini, Astro Arena mengambil inisiatif turun ke sekolah-sekolah terpilih untuk mengadakan Klinik NSL bagi memberi peluang dan pengalaman berharga buat semua pelajar mempelajari asas-asas sukan ini dari peringkat akar umbi.
Selain itu, pelajar-pelajar sekolah ini juga berpeluang untuk beramah mesra bersama hos dan pemain-pemain kebangsaan yang hadir sekali gus dapat membantu dan menarik minat mereka untuk menceburi sukan bola jaring ini.
Klinik NSL juga adalah platform pendedahan buat pihak sekolah dan pelajar untuk aktif dalam sukan ini.
Para pelajar bukan sahaja diajar teknik-teknik yang betul seperti gerakan, balingan dan pertahanan, malah mereka juga merasai pengalaman bermain simulasi perlawanan semasa program itu berlangsung.
Sukan Sinar: Apakah harapan Astro dan mesej untuk peminat bola jaring di seluruh negara?
Nicholas: Saya juga mengharapkan lebih ramai badan-badan korporat, konglomerat tempatan dan antarabangsa tampil membantu memperkasakan lagi legasi sukan wanita paling popular di Malaysia ini.
Pada tahun ini menyaksikan jenama pakaian tempatan, Elite menjadi Penaja Pakaian Rasmi NSL, Penaja Tudung rasmi iaitu Tudong DNA dan Figos pula tampil sebagai penaja bola rasmi.
Sementara itu, buat pertama kalinya, Sinar Harian menjadi Rakan Media Rasmi dan Era kekal sebagai Radio Rasmi NSL 2022.
Dengan populariti dan prestasi cemerlang skuad negara di pentas Asia tenggara sooka NSL mampu menjadi hab sukan antarabangsa dan mencipta jenamanya ke peringkat lebih tinggi.
Jangan lupa datang beramai-ramai ke Stadium Juara, Bukit Kiara untuk menyaksikan saingan terulung NSL bermula 13 September hingga 5 November setiap hari jumaat, Sabtu dan Ahad atau anda boleh saksikan di semua platform Astro Arena.
Sukan Sinar: Apakah matlamat utama kolaborasi Astro Arena bersama Sinar Harian sebagai rakan media rasmi NSL 2023?
Nicholas: Sinar Harian di bawah Kumpulan Media Karangkraf merupakan satu kuasa besar dalam industri media cetak terutamanya di kalangan komuniti berbahasa Melayu dan kami amat berbangga mengumumkan usahasama yang dijalinkan dengan sinar harian bagi memperkasakan lagi sukan tempatan bersama-sama.
Usahasama ini menyatukan dua entiti yang membawa misi yang sama iaitu dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan masing-masing untuk mempromosikan sukan bola jaring dan juga NSL lebih dekat di hati peminat.
Pihak Astro Arena dan Sinar Harian akan saling menyalurkan perkongsian sumber berita dan liputan menyeluruh di antara kedua-dua pihak dalam menyampaikan liputan yang mendalam mengenai NSL 2023.