Kontena tidak sempat 'edar' 24,000 liter diesel subsidi

Iklan
Sebuah lori kontena yang dirampas KPDN Kuala Lumpur dalam serbuan di stor haram di ibu negara pada 4 September lalu. Gambar kecil: Ariffin

KUALA LUMPUR - Sebuah lori kontena yang memuatkan 24,000 liter diesel subsidi bernilai RM56,400 hasil kegiatan penyelewengan tidak sempat dipindah keluar dari ibu negara selepas ditahan pihak berkuasa di sini pada 4 Oktober lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, rampasan diesel itu dibuat menerusi Op Tiris di sebuah stor haram hasil risikan selama tiga minggu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan di stor terbabit tiga tangki dipercayai untuk penyimpanan diesel yang lengkap dengan hos penyambung dan pam bermeter.

"Namun, hanya sebuah tangki mengandungi 4,073 liter diesel bernilai RM9,571.55.

Iklan

"Nilai keseluruhan barang rampasan dalam serbuan ini berjumlah RM120,966.95," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pembongkaran ini susulan Unit Risikan KPDN Kuala Lumpur yang mengesan beberapa buah lori berulang kali membeli diesel di stesen minyak sekitar Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.

Iklan

Katanya, diesel itu akan dikumpulkan di stor terbabit sebelum dipindahkan ke sebuah lori kontena bersaiz 20 tan yang kemudiannya akan dihantar ke luar Kuala Lumpur.

"Empat warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pekerja dan pemilik stor serta pemandu lori diberkas untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," ujarnya.

Dalam kes berasingan pada 5 Oktober, KPDN Kuala Lumpur turut membuat penahanan susulan serahan kes daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan seorang pemandu lori dengan muatan 1,000 liter diesel subsidi bernilai RM2,350 di hentian rehat dan rawat Kinrara, di sini.

Tambah Ariffin, pemandu itu disiasat kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa memiliki lesen atau permit yang sah.

Tegasnya, KPDN Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana pihak dan tidak akan berkompromi dengan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

"Jika ingkar dan melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan akan dikenakan hukuman yang berat seperti mana yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," jelasnya.