Sensasi Natasha pacu emas di Kuwait

Iklan
Dari kiri; Atlet negara, Li Jane dan Natasha menaiki podium pada Kejohanan Boling Dunia di Salmiya pada malam Isnin. - Foto Facebook Hannah Yeoh

PEMAIN boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan melakar sensasi di Kuwait apabila meraih pingat emas acara individu pada Kejohanan Boling Dunia di Salmiya pada malam Isnin.

Kejayaan atlet berusia 27 tahun itu sekali gus menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas kali terakhir memenanginya di Hong Kong pada 2011.

Iklan
Iklan

Menariknya, kemenangan tersebut dirangkul selepas mengenepikan saingan rakan senegara, Sin Li Jane dengan keputusan 2-1 menerusi format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Dalam aksi itu, Natasha bermula baik dalam aksi pertama selepas melakukan 259 jatuhan pin berbanding 194 oleh Li Jane.

Iklan
Natasha membanggakan Malaysia apabila mengungguli acara individu pada Kejohanan Boling Dunia di Kuwait pada malam Isnin. - Foto Facebook Bowling Malaysia

Pada permainan kedua Li Jane bangkit dengan kemenangan 238-162, namun Natasha enggan mengalah untuk mengungguli aksi penentuan 185-165 untuk mengesahkan emas menjadi miliknya.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara berkenaan ialah menerusi Jacqueline Sijore di Hong Kong pada tahun 2011.

Iklan

Dalam pada itu, menurut laman sesawang www.abf-online.org, pemain Korea Selatan, Hong Hae Ni dan Son Hye Rin masing-masing berkongsi gangsa.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berbangga dengan kejayaan dua atlet negara berkenaan yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Tahniah Natasha dan Li Jane memenangi emas dan perak pada Kejohanan Dunia," tulia Hannah di Facebooknya.