Tumpahan minyak punca empat LRA henti tugas

Iklan
Keratan laporan Sinar Online.

SHAH ALAM - Pencemaran bau yang menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) dihenti tugas seketika pada awal pagi Selasa berpotensi disebabkan faktor kuantiti minyak yang minima dan bersifat sementara masuk ke Sungai Selangor.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah dilakukan ke beberapa kawasan antaranya lokasi pengorekan pasir, aktiviti pembangunan berhampiran dan Jambatan Sungai Sembah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan dan pensampelan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti ini menunjukkan bacaan bau 0 ton dan tiada kesan minyak didapati.

"Insiden ini berpotensi disebabkan oleh faktor kuantiti minyak yang minima dan bersifat sementara masuk ke dalam Sungai Selangor dan bahan sampel yang diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan empat LRA iaitu LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 dihenti tugas sementara berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor.

Kesemua LRA itu bagaimanapun sudah mula kembali beroperasi pada jam 4 pagi, Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, henti tugas dilaksanakan selepas LUAS menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkenaan bau seakan diesel sehingga bacaan 3 ton yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang.

Ujarnya, tindakan segera dilakukan dengan meletakkan oil boom di muka sauk LRA selain mengaktifkan pelepasan air daripada HORAS 600 dan kolam alternatif di Bestari Jaya sebanyak 590 juta liter sehari (JLH) ke Sungai Selangor bermula jam 12 malam, bagi meningkatkan faktor pencairan (dilution factor) sungai.

Jelas beliau, hasil daripada koordinasi dan tindakan pantas LUAS dan Air Selangor, mitigasi pencemaran berjaya dilaksanakan segera.

"Air Selangor melaporkan LRA Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.30 pagi dan LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 pada jam 4 pagi dengan tempoh henti tugas sementara tidak melebihi 4 jam.

"Siasatan susulan kenal pasti punca diteruskan. Kerajaan negeri dan LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020," katanya.