KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mempelopori beberapa inisiatif menggalakkan penggunaan mata wang serantau secara lebih meluas sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif itu adalah Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF).
"Kita gunakan nilai wang tempatan untuk berdagang. China sambut baik, sekadar 20 peratus hingga 28 peratus pelaburan besar (melibatkan) puluhan bilion ringgit. Tidak menggunakan dolar AS, tetapi Ringgit. Ini tidak menjejaskan dari segi kesusutan nilai ringgit. Begitu juga dengan Thailand.
"Setakat ini, kita berjaya gunakan nilai wang tempatan dengan Indonesia, Thailand dan China. Tetapi tidak semua bidang, terutama kalau terlibat dalam 'commodity international trade'.
"Sebab itu, kita juga cadang dengan istilah ‘dedollarisation’ kerana negara ASEAN dan Asia, kebergantungan kepada dolar AS menyebabkan nilai wang tempatan jatuh seperti yang berlaku kepada mata wang China dan Jepun,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai keberkesanan langkah kerajaan dalam menangani impak kejatuhan nilai ringgit yang semakin merudum serta implikasinya secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui sukar untuk menghentikan sepenuhnya penggunaan dolar AS secara mendesak dalam perdagangan pada masa ini.
Namun Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, Malaysia lebih aktif dan agresif menekankan keperluan kegunaan mata wang tempatan ini.
"Langkah-langkah lain untuk menangani kemeruapan pasaran pertukaran asing, BNM akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran teratur,” katanya.