Selangor kaji, selaras semula laluan Bas Smart Selangor

Iklan
Bas Smart Selangor.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sentiasa mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya di negeri berkenaan.

Menurut Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, sejak 2016, kerajaan negeri telah memperkenalkan perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor.

Iklan
Iklan

"Sehingga kini, perkhidmatan Bas Smart Selangor mencatatkan bilangan penumpang lebih 60 juta dengan jumlah peruntukan RM169.5 juta ringgit dibelanjakan kerajaan negeri sejak ia diperkenalkan.

"Kini, terdapat 50 laluan Bas Smart Selangor dan 166 buah bas yang beroperasi pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Berikutan dengan pengumuman Kementerian Pengangkutan untuk menyelaraskan laluan bas di peringkat kerajaan Persekutuan melalui Prasarana Bhd, kerajaan Selangor melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Mobiliti Selangor pada Isnin telah mengambil ketetapan untuk mengkaji semula laluan-laluan Bas Smart Selangor agar dapat diselaraskan bersama di dalam perancangan Kementerian Pengangkutan.

Sze Han berkata, kajian tersebut akan meliputi penambahbaikan ekosistem keseluruhan perbatuan pertama dan terakhir (First and Last Mile Connectivity) merangkumi laluan pejalan kaki yang selesa, mikromobiliti seperti e-scooter dan basikal elektrik serta perkenalan kepada sistem Van DRT (Demand-Responsive Transit) Mobiliti Selangor yang bakal dilancarkan tahun ini.

Iklan

Menurutnya, sistem Van DRT mengutamakan angkutan penumpang di kawasan hab pengangkutan awam dengan tujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang utama seperti rel dan bas.

"Kawasan yang lebih sesuai bagi penggunaan Van DRT seperti berkepadatan tinggi dan laluan sempit akan menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor pada masa akan datang.

"Dengan usaha ini, kerajaan Selangor berharap sistem pengangkutan awam akan menjadi pilihan utama rakyat Selangor dan warga Lembah Klang menjelang tahun 2030, selaras dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor yang menetapkan visi 60 peratus pengguna memilih untuk bergerak dengan menggunakan pengangkutan awam pada tahun tersebut," katanya.