JOHOR BAHRU - Sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) merupakan penyumbang utama ekonomi negara, dengan bilangan PMKS merangkumi hampir 1.2 juta atau 97.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Rizal Nainy berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada inisiatif pendigitalan menerus Belanjawan 2024 bagi meningkatkan lagi sumbangan sektor PMKS.
"PMKS merupakan satu tunjang ekonomi negara yang perlu dibantu secara bersasar. Inisiatif yang membolehkan PMKS bergerak lebih maju dan berdaya saing dalam aspek pendigitalan perlu dijadikan keutamaan.
"Begitu juga akses kepada pasaran terutamanya pasaran eksport serta perkara yang membolehkan mereka mengembangkan lagi rantaian bekalan terutamanya persediaan pelaksanaan strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Pengukuhan Ekonomi Madani Wilayah Selatan di sebuah hotel, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rizal memberitahu amalan ESG masih rendah dalam kalangan usahawan kerana mereka tidak mempunyai tahap kesedaran yang jelas mengenai perkara itu serta implikasi terhadap perniagaan.
"ESG merupakan elemen baru dalam penyediaan PMKS dalam rantaian bekalan khususnya bagi pasaran eksport. Dari segi tahap kesedaran, kita dapati ia masih rendah berbanding syarikat berskala besar.
"Walaupun ada sebahagian PMKS yang tahu mengenai ESG ini iaitu kira-kira 60 peratus tahap kesedaran, namun dari segi adaptasi ia masih rendah dan tidak diimplementasi," katanya.
Mengenai, permohonan Mikro Madani, katanya, pihaknya telah menerima lebih 300 permohonan terutamanya dalam bentuk kewangan.