Pelaksanaan e-Wages perlu diperhalusi, teliti semula

Iklan
Mustapha

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum bersedia melaksanakan sistem e-Wages pada waktu ini.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud menjelaskan, pelaksanaannya masih perlu diperhalusi bersama pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan bagi memastikan tiada implikasi negatif kepada pekerja.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan, keputusan tersebut juga dibuat selepas mengambil kira perkembangan teknologi digital yang semakin rancak ketika ini.

"Berdasarkan perkembangan teknologi digital seperti Block Chain dan pelbagai sistem lain, maka cadangan pelaksanaan e-Wages perlu diperhalusi dan dibincangkan semula dengan pihak berkepentingan

Iklan

"Sehubungan itu, KSM memerlukan masa untuk membuat penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia berhubung pelaksanaan sistem berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri M Saravanan (BN - Tapah) mengenai status pelaksanaan sistem e-Wages selepas ia ditangguhkan.

Dalam pada itu Mustapha berkata, penelitian juga perlu dinilai berdasarkan pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu dengan memperkenalkan klausa baharu iaitu Seksyen 25 dan 25 (A).

Iklan

Klausa tersebut memberi kuasa kepada menteri untuk membenarkan sebarang instrumen pembayaran upah lain yang termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

"Atas dasar ini, maka KSM melihat terdapat pelbagai implikasi yang akan wujud sekiranya e-Wages dilaksanakan tanpa penglibatan institusi kewangan.

"Ini kerana beban pembuktian akan jatuh di pihak pekerja sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan majikan dari segi pembayaran gaji.

"Sehubungan itu, penelitian dan perbincangan lanjut berhubungan e-Wages dengan pihak-pihak berkepentingan yang dinyatakan adalah masih diperlukan,” jelasnya.

Sebelum ini, sistem e-Wages yang merupakan medium pemantauan pembayaran gaji pekerja asing ditangguhkan selepas beberapa isu berbangkit melibatkan kadar caj RM1 sebulan ke atas setiap pekerja disifatkan tinggi.