KUALA TERENGGANU - Etika pemakaian ditetapkan dalam Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Negeri Terengganu hanya terikat kepada pelancong beragama Islam.
Justeru, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris menyatakan pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana mereka tidak terikat dengan etika pemakaian tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelancong bukan Islam perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di negeri ini tanpa melampaui batas atas garis panduan ditetapkan.
"Pelancong bukan Islam boleh berpakaian seperti biasa yang bersesuaian dengan aktiviti hendak dilakukan sebagai contoh kalau mahu mandi di pulau-pulau peranginan, bolehlah pakai sut renang, tapi jangan pakai di tempat awam seperti Pasar Besar Payang...itu memang tak boleh.
"Pelancong bukan Islam pakailah apa yang mereka biasa pakai, tapi jangan melakukan sesuatu melampaui batas seperti minum arak secara terbuka di tempat umum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre di sini pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri diminta lebih tegas untuk menguatkuasakan pematuhan etika pakaian oleh pelancong Islam yang datang ke Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, pemantauan pelaksanaan patuh syariah di seluruh negeri perlu dilakukan meliputi hotel, rumah peranginan, pulau, pantai, pusat hiburan, pawagam dan lokasi lain oleh semua portfolio, agensi dan jabatan kerajaan di Terengganu.
Sementara itu, Razali berkata, etika pemakaian yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan bertujuan mendidik pelancong Islam supaya mematuhi pemakaian seperti mana yang disyariatkan Islam.
"Setakat ini tiada seorang pun pelancong Islam pernah dihukum kerana melanggar etika pemakaian tersebut. Ini bermaksud, kerajaan negeri masih dalam fasa mendidik, bukan mahu menghukum atau mengenakan denda.
"Pada masa sama, pemain industri pelancongan juga perlu memainkan peranan mereka dengan mengingatkan pelancong agar sentiasa berpakaian sopan selain tidak mencolok mata sepanjang berada di Terengganu," jelasnya.