KOTA BHARU - Polis Kelantan mengeluarkan 379 saman atas pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan sepanjang 17 hari Op Khas Perdagangan yang bermula 22 September hingga 8 Oktober lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah tersebut tiada insurans kenderaan menjadi kesalahan paling tinggi melibatkan 45 saman diikuti tamat Lesen Kenderaan Malaysia (LKM) 43 saman dan berkaitan nombor pendaftaran (35 saman).
"Sebanyak 2,624 kenderaan yang terdiri daripada lori dan bas telah diperiksa oleh pihaknya sepanjang operasi tersebut. Daripada jumlah itu 635 adalah lori, selebihnya bas.
"Kenderaan berat seperti lori dan bas (kenderaan perdagangan) lebih berisiko mendatangkan impak kerosakan yang besar dan kecederaan serius hingga kehilangan nyawa kepada penumpang jika berlaku sesuatu kemalangan. Apa lagi ketika mereka membawa beban yang berat (lori) atau membawa penumpang yang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, operasi itu bagi memastikan peraturan jalan raya dipatuhi oleh pihak-pihak yang terlibat ekoran kerap kali berlakunya kes kemalangan dan tragedi yang melibatkan kenderaan perdagangan.
Ujarnya, menerusi Op Khas Warganegara Asing yang bermula 3 hingga 16 Oktober lalu sebanyak 51 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Muhamad Zaki memberitahu, ia melibatkan kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran, topi keledar, alat komunikasi, tidak memakai tali pinggang, tiada cermin sisi dan aksesori tidak sempurna.
Tambah beliau, polis turut menyita 17 buah kenderaan yang terdiri daripada motosikal dan kereta.