PASIR GUDANG - Cadangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di hadapan rumah di daerah ini mengundang reaksi berbeza penduduk.
Jazaidi Jamal, 52, dari Taman Bukit Dahlia berkata, dia bersetuju sekiranya larangan tersebut dikuasakan terutama kenderaan yang diparkir menghalang laluan di jalan-jalan utama.
"Ini termasuk kereta buruk yang tidak digunakan lagi dan dibiarkan tersadai begitu sahaja. Begitu juga dengan mereka yang menjalankan perniagaan kereta sewa dan van sekolah tidak wajar meletakkannya depan rumah.
Pada Ahad, Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam satu mesyuarat berkenaan perkara itu memberitahu, keputusan penguatkuasaan larangan meletakkan kereta di luar pagar rumah akan diketahui pada Rabu ini.
Jelas Asman, pihak MBPG menerima banyak aduan meletakkan kenderaan yang menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai pada tahun lalu dan penguatkuasaan itu bertujuan menjaga keharmonian penduduk.
Mengulas lanjut, Jazaidi berkata, disebabkan masalah tersebut ada penduduk yang terpaksa letak kereta di belakang rumah sekali gus menimbulkan masalah pula kepada lori sampah.
Sewajarnya kata bapa kepada dua anak itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan satu ruang parkir alternatif untuk penduduk yang mempunyai lebih daripada dua kereta contohnya seperti yang dipraktikkan di kawasan apartment.
Abdul Ghafar Othman, 62, dari Taman Kota Masai pula tidak bersetuju dengan cadangan itu yang dianggap tidak sesuai pada masanya dalam keadaan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
"Tak sesuai, rakyat nak hidup pun susah sekarang ini dengan gaji tak naik dan barang mahal," ujarnya yang sudah bersara dan mempunyai tiga anak.
Hazuan Azahar, 31, dari Bandar Bistari Perdana turut tidak bersetuju dengan penguatkuasaan tersebut dan meminta PBT berkenaan mengkaji semula cadangan tersebut.
"Bagilah muka sikit dekat rakyat. Ada rumah yang mempunyai sampai dua atau tiga kereta. Ruang parkir ada yang sempit di taman-taman sedia ada," ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.