KUALA SELANGOR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan modul literasi kewangan dimasukkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.
Beliau berkata, modul atau kursus khas itu amat penting kepada generasi muda bagi menghadapi cabaran mendatang.
Menurut beliau, pada masa ini, generasi baharu di negara ini dan di seluruh dunia terkekang dengan permasalahan pembelian secara dalam talian, penawaran kad kredit dan juga pembelian tanpa menggunakan wang.
"Beberapa pendekatan mesti dilakukan agar kadar kebankrapan ini dapat ditangani lebih awal," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Konvensyen Literasi Kewangan Belia Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya tiada pelan perancangan dibuat, beliau khuatir golongan muda yang belum memasuki pasaran pekerjaan sudah dibebani hutang dan kebankrapan.
Sehubungan itu, katanya, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (iLEAD) dan PLKN serta kursus dikendalikan oleh mana-mana institusi pendidikan termasuk Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) dan pengajian tinggi turut menekankan soal literasi kewangan agar dimasukkan sebagai salah sebuah modul penting.
"Sehingga kini, terdapat 1,334 institusi TVET dan saya akan turut menekankan soal literasi kewangan ini agar dimasukkan sebagai salah sebuah modul penting.
"Kepimpinan dan pelbagai kursus di IPT dan kolej lain juga mampu menyediakan daya tahan terhadap permasalahan dihadapi generasi baharu ini dengan sistem penawaran kewangan baharu agar mitigasi ini dapat dilakukan segera," tambahnya.