Pekebun kecil RISDA terima BMT RM800 bermula November

Iklan
Ahmad Zainal (tengah) menyempurnakan perasmian Program Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Peringkat RISDA Negeri Perak di Dewan Jubli Perak pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Seramai 232,427 pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima bantuan musim tengkujuh (BMT) tahun ini, melibatkan peruntukan hampir RM186 juta (RM185,941,600).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah berkata, bantuan keseluruhan berjumlah RM800 bakal diterima setiap pekebun kecil berkenaan secara berfasa dan ia akan bermula pada November ini.

Iklan
Iklan

"Untuk makluman, jumlah keseluruhan RM800 itu akan dibayar secara berfasa bermula dari November ini sehingga Februari tahun depan kepada setiap pekebun kecil yang berdaftar di bawah RISDA.

"Selain itu, syarat kelayakan yang dikenakan untuk mendapatkan bayaran BMT ini adalah setiap daripada pekebun kecil itu perlu mengusahakan tanaman getah berkeluasan sekurang-kurangnya 2.5 hektar ke bawah,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) Peringkat Risda Negeri Perak di Dewan Jubli Perak di sini, pada Selasa.

Terdahulu, program tersebut turut dihadiri Pengarah RISDA Perak, Ronni Pasla Mohamed Yusoff; Timbalan Pengarah RISDA Perak, Mohamad Azli Mohd Shah; Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi (BPPT), Laili Husna Othman serta 670 pekebun kecil dari seluruh daerah di negeri ini.

Iklan

Katanya, RISDA sedang berusaha mengenal pasti pelbagai kaedah atau pendekatan terbaik dalam memperkasakan sektor pekebun kecil getah yang menyumbang kepada 85 peratus hasil getah asli negara.

Tambahnya, buat masa ini fokus utama terarah kepada usaha menggalakkan para pekebun kecil getah untuk memberi tumpuan penghasilan susu getah atau lateks, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

"RISDA sedar proses lateks ini perlu melalui fasa-fasa pembangunan dan latihan, namun disebabkan permintaan dan keperluan terhadap industri, peluang menghasilkan lateks ini perlu direbut sebaik mungkin oleh para pekebun kecil getah ini.

"Kita juga percaya dengan kepelbagaian penghasilan getah asli, pendapatan pekebun kecil ini dapat ditingkat semaksimum mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zainal berkata, RISDA turut menawarkan Skim Getah Matang (SGM) yang berperanan dalam membantu mana-mana pekebun kecil getah mengusahakan semula kebun getah yang tidak bertoreh.

"Skim ini merangkumi komponen bantuan peringkat satu hingga lima melalui penambahan bantuan SGM dengan nilai maksimum RM 7,700 di Semenanjung Malaysia serta RM8,400 di Sabah dan Sarawak,” katanya. - Bernama