Qari, qariah Kedah juara Tilawah JBPM

Iklan
Mohd Juwaidi merangkul johan tilawah al-Quran buat kali pertama.

KUALA KUBU BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengekalkan gelaran juara keseluruhan Pertandingan Tilawah Al-Quran, Alunan Azan dan Qasidah Peringkat JBPM buat kali ketiga berturut-turut.

Qari dan qariah JBPM Kedah masing-masing dinobatkan johan tilawah al-Quran menerusi anggota bomba bantuan yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Mohd Juwaidi Shabudin, 27 tahun.

Iklan
Iklan

Sementara qariah diwakili Siti Aishah Md Arif, 26, yang merupakan isteri kepada seorang anggota di BBP Langkawi, Basri Jalil.

JBPM Kedah turut memenangi tempat ketiga pertandingan alunan azan menerusi peserta, Ahmad Farizan Saad selain tempat keempat bagi pertandingan qasidah.

Iklan

Menurut Mohd Juwaidi, dia bersyukur apabila percubaan kali pertama memasuki pertandingan tilawah al-Quran membuahkan hasil.

"Selepas tamat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), saya mengajar selama setahun di sebuah sekolah menengah agama.

Iklan

"Kerana minat dengan kerjaya bomba, saya sertai anggota bomba bantuan sejak enam bulan lalu dan ini kali pertama masuk pertandingan tilawah.

Siti Aishah ditemani suami pada majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut.

"Bila nak masuk pertandingan saya tengok Youtube belajar cara bacaan bertaranum dan insyaALLAH selepas ini, saya akan belajar dengan guru bertauliah," katanya ketika ditemui pada majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan tersebut, semalam.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof di Auditorium Haji Mansor, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Sementara itu Siti Aishah berkata, dia mempertahankan gelaran johan untuk kali ketiga dan berpengalaman menyertai pertandingan tilawah anjuran pelbagai pihak setiap tahun sejak sekolah rendah.

Menurutnya, pada tahun lepas dia memenangi pertandingan peringkat negeri Perlis sebelum ke peringkat kebangsaan ketika sarat mengandung sembilan bulan.

Penganjuran pertandingan peringkat JBPM kali tahun ini disertai 29 peserta tilawah al-Quran dan 23 peserta alunan azan serta tujuh kumpulan qasidah.