KUANTAN- Akibat terlalu takut terlibat dengan pengubahan wang haram dan kesalahan dadah menyebabkan seorang pensyarah berputih mata setelah ditipu RM132,000, 5 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berumur 60 tahun itu ditipu setelah menerima panggilan daripada seorang wanita pada kira-kira jam 3 petang yang menyamar sebagai sebagai pegawai perundangan Mahkamah Majistret Melaka.
Menurutnya, suspek memaklumkan bahawa mangsa yang mengajar di sebuah institut pengajian tinggi di daerah ini mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM13,580.78.
"Seperti biasa, selepas mangsa menafikan tentang pinjaman itu, suspek menyambung panggilan ke seorang ‘pegawai polis’ berpangkat inspektor untuk memberikan keterangan sebelum dia ‘digertak’ kononnya akaun pengadu terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan juga kesalahan akta dadah.
"Mangsa mengikut arahan kerana ingin menyelesaikan masalah tersebut sehingga menyebabkan mangsa memasukkan wang berjumlah RM132,000 kepada suspek.
"Mangsa juga diminta membuat transaksi ke dalam empat akaun yang berbeza atas alasan untuk menyemak kesahihan wang berkenaan dan mangsa gagal menghubungi suspek selepas wang tersebut dimasukkan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi kes berlainan Mohd Wazir berkata seorang pemilik spa mengalami kerugian RM31,090 selepas dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman peribadi yang tidak wujud, April lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas mangsa tertarik dengan iklan pinjaman peribadi yang dicarinya melalui media sosial Facebook.
"Selepas menghubungi suspek, mangsa yang ingin meminjam RM10,000 kemudiannya memasukkan RM31,090 sebanyak lima kali transaksi ke dalam tiga akaun yang berbeza.
"Mangsa diminta membuat pembayaran tersebut yang bertujuan untuk pengurusan wang, membuka akaun semasa proses perjanjian mematikan setem dan pembayaran penalti disebabkan lewat bayar wang perjanjian mematikan setem," katanya.
Tambahnya, mangsa diminta sekali lagi untuk memasukkan wang berjumlah RM 5,000 bagi tujuan pembayaran penalti kepada pegawai bank negara.
"Namun mangsa tidak membuat pembayaran seperti yang diminta dan telah membuat laporan polis kerana ditipu dalam urusan pinjaman wang sehingga mangsa mengalami kerugian,"katanya.