PONTIAN - Kanak-kanak tiga tahun, Mohd Raffique Rayfal Mohd Nasarudin atau Rayfal yang koma selepas diserang sawan di Singapura pada tahun lalu, kini boleh bercakap dan mulai aktif.
Ramai tidak menyangka Rayfal menunjukkan perubahan dengan begitu cepat setelah sedar dari koma selama empat hari.
Bermula terlantar dan bergantung kepada susu, kini Rayfal sudah boleh menggerakkan kaki dan tangannya, malah makanan lembut sudah mula dijamah anak ketiga daripada empat beradik itu.
Panggilan ‘mama’ membuatkan ibunya, Nor Ira Mardiana Sameon, 30, begitu sebak kerana sudah setahun tidak didengar daripada Rayfal.
Bagi Ira, dia tidak mungkin melupakan detik Rayfal diserang sawan ketika melawat datuknya, pada Ramadan tahun lalu.
Katanya, dia ke Singapura bersama tiga lagi anak Mohd Raffique Rayqal, 7, Nur Qyra Qalesya, 6, dan Mohd Raffique Rayshad 2.
Pelbagai pembedahan dan rawatan dilalui Rayfal bagi mengeluarkan ketulan darah beku di kepalanya di sebuah pusat perubatan di Singapura selepas anaknya itu diserang sawan.
"Pendapatan suami, Mohd Nasharuddin Abd Kadir, 30, yang bekerja sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Yunos Sulaiman Pekan Nanas, tidak mencukupi untuk bayar bil hospital cecah RM200,000.
"Mujur ramai yang bantu hulurkan sumbangan selepas kisah Rayfal tular di media sosial dan dipaparkan dalam akhbar,” katanya.
Katanya, kisah Rayfal yang tular di media sosial mencuri tumpuan banyak pihak yang mahu membantu anak kecil itu agar dapat dipindahkan ke hospital di Johor Bahru.
Jelasnya, Rayfal kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan seterusnya meneruskan rawatan di situ.
Ramai yang tidak percaya melihat Rayfal sekarang. Malah doktor juga pernah beritahu saya dahulu, anak saya mungkin sukar pulih.
"Tetapi saya dan suami tidak pernah putus asa dan percaya Rayfal boleh baik semula. Kami usaha dengan perubatan islam dan alternatif selain fisioterapi di rumah,” katanya.
Demi memastikan Rayfal mampu menggerakkan anggota tubuh badannya selepas hampir empat bulan terlantar atas katil, pelbagai usaha dilakukan Mohd Nasaruddin.
"Ini termasuklah mendapatkan rawatan terapi ais yang dijalankan di Melaka. Malah Kerusi khas turut dibeli bagi melatih Rayfal untuk duduk,” katanya.
Jelasnya, dia dan suami turut membawa Rayfal menjalani perubatan homeopati di bandar Pontian
Sepenuh jiwa kepada Rayfal
Nor Ira yang kini tinggal di Pekan Nanas berkata, dia memberi sepenuh jiwanya kepada Rayfal.
"Dalam fikiran saya cuma mahu lihat Rayfal sembuh dan berjalan semula. Saya tidak hirau apa orang cakap bila tengok keadaan anak saya dahulu tidak mampu gerakkan tangan dan kakinya.
"Hendak tidur makan asyik ingat Rayfal. Saya dan suami usaha pelbagai cara untuk pulihkan Rayfal,” katanya.
Jelasnya, walau apa juga yang diberitahu tentang penyakit anaknya itu, dia sentiasa yakin Rayfal akan sembuh.
"Biar apa juga ujian diberikan kepada kesihatan anak, sebagai ibu perlu sentiasa kuat dan yakin dengan ALLAH,” katanya.
Ira berkata, dia masih meneruskan rawatan fisioterapi di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Sinar Bakti Pekan Nanas.
Katanya, keadaan Rayfal yang semakin baik membolehkan dia menggerakan anggota kaki dan tangannya.
"Tidak mustahil Rayfal mampu berdiri dan berjalan selepas mendapatkan rawatan fisioterapi.
"Ini juga merupakan ikhtihar kami untuk sekurang-kurangnya melihat Rayfal mampu menguruskan dirinya sendiri apabila dewasa kelak,” katanya.
Ira mengakui semangat Rayfal untuk pulih cukup kuat dengan perkembangan cukup positif ditunjukkan setiap kali menjalani rawatan di hospital mahupun rawatan alternatif.
"Terus doakan Rayfal semoga dia pulih dan dapat berjalan semula,” katanya.