CARSON CITY - Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun meninggal dunia enam minggu selepas ditolak keluar dari sebuah bas oleh seorang wanita dalam kejadian di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Mac lalu.
Lapor media tempatan, mangsa dikenal pasti sebagai Serge Fournier, meninggal dunia pada 23 April ketika menerima rawatan di sebuah hospital.
Sumber perubatan berkata, mangsa mengalami pendarahan dalam kepala.
Menurut Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas, kejadian berlaku pada 21 Mac tetapi suspek, Cadesha Bishop, 25, hanya ditahan pada 6 Mei lalu.
Insiden berkenaan berjaya dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bas tersebut.
Dalam rakaman itu, mangsa dilihat menegur wanita terbabit kerana mengherdik penumpang lain.
Suspek kemudian menolak lelaki berkenaan yang menggunakan alat bantuan berjalan ketika mahu keluar dari bas tersebut kira-kira jam 4.50 petang (waktu tempatan).
Akibat tolakan kuat itu, mangsa jatuh tersembam ke laluan pejalan kaki.
Polis berkata, Bishop berdepan tuduhan membunuh dan meminta saksi lain tampil bagi melengkapkan siasatan. - Agensi