SHAH ALAM - Seorang doktor pakar memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa beliau membuat kesimpulan Muhammad Adib Mohd Kassim tidak mungkin ditarik keluar tetapi keluar sendiri dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pada malam kejadian, berdasarkan dapatan bedah siasat dan keterangan saksi.
Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata sepanjang prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba itu dijalankan, tiada satu pun keterangan saksi-saksi mata pada malam kejadian yang boleh menyokong bahawa mangsa ditarik keluar dari van itu.
"Saya ambil kira keterangan saksi termasuk pemandu van EMRS yang bersama mangsa dan laporan bedah siasat yang tunjukkan tiada elemen dia (Muhammad Adib) ditarik keluar.
"Jika tidak ada kecederaan yang berpadanan dengan ditarik keluar jadi kita boleh simpulkan (mangsa) keluar sendiri," katanya ketika menjawab soalan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ketika ditanya Syazlin bila beliau membuat kesimpulan tersebut, saksi ke-24 yang dipanggil semula memberi keterangan itu berkata beliau membuat kesimpulan tersebut ketika ditanya di dalam mahkamah.
Syazleen: Ada atau tidak keterangan saksi yang cakap dia (Muhammad Adib) keluar sendiri dari van?
Ahmad Hafizam: Tidak ada, (namun) tidak ada keterangan (saksi) yang menyokong dia ditarik (keluar dari van) dan laporan bedah siasat pun sama, jadi kita simpulkan dia keluar sendiri (dari van).
Saksi itu juga berkata beliau tidak yakin Muhammad Adib memakai baju celoreng bomba pada malam kejadian berdasarkan tiada kesan koyak ditemui pada baju itu.
"Calar atau sagat pada bahagian dada pastinya sebab ada koyakan pada baju tetapi tidak ada (koyakan) pada bahagian kanan baju. Seluar, saya yakin (dipakai mangsa), sebab ada kotoran dan mangsa cedera pada lutut kanan.
"Baju itu lebih bersih dan tidak ada koyakan pada siku kiri serta tidak ada sebarang kesan pada bahagian dada kanan. Pada baju itu juga ada nametag pelekat jadi sudah tentu nametag akan tercabut bila mangsa cedera," katanya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad turut menyaksikan pertikaman lidah antara Syazleen dan Dr Ahmad Hafiz berhubung isu tidak mendapat kerjasama daripada pihak bomba ketika saksi itu menjalankan eksperimen ke atas van EMRS di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada 12 April lepas.
Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.
Prosiding inkues bersambung petang. - Bernama