KUALA LUMPUR - Cadangan supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus yang dijalankan.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, alasan bagi cadangan tersebut kerana ia berkesan ke atas peminjam PTPTN yang culas tidak membayar pinjaman bertujuan untuk mendisiplinkan mereka.
"Ini bukan cadangan PTPTN tetapi pihak berkaitan. Idea-idea daripada konsultasi rakyat ini akan kita bawa kepada Kementerian Pendidikan dan Kabinet.
"Jika melihat kembali kepada isu senarai hitam imigresen ketika nak dimansuhkan, ada pihak bantah kerana berpendapat ia tidak adil kepada pembayar pinjaman yang konsisten. Ini kerana mereka yang culas diberikan keistimewaan sebaliknya mereka yang berdisiplin tidak menerima sebarang insentif," katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Public Consultation Paper (PCP) di Menara PTPTN di sini hari ini.
Pada Jun tahun lalu, PTPTN mengesahkan 429,945 peminjam kini bebas dari disenarai hitam oleh Imigresen dan boleh ke luar negara.
Wan Saiful berkata, proses menyenarai putih itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 24 Mei hingga 8 Jun, membolehkan 1.8 juta peminjam PTPTN yang sepatutnya membuat bayaran balik, layak ke luar negara, memperbaharui pasport dan membuat pasport baharu tanpa sekatan Imigresen.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya isu sekatan atau senarai hitam peminjam terus diutarakan sepanjang tiga minggu sesi konsultasi rakyat dijalankan, pihaknya akan membawa perkara itu kepada peringkat tertinggi.
"Setakat ini kita tidak mengambil sebarang keputusan sama ada setuju atau tidak kerana kita nak dengar semua pandangan daripada rakyat.
"Soal melaksanakan itu bukan di tangan kita sebaliknya di peringkat kementerian atau Kabinet. Jika ditanya adakah kita akan laksanakan (sekatan kepada peminjam), saya tidak boleh jawab sekarang sebab kita kumpul semua idea sebelum ia diangkat ke peringkat tertinggi," katanya.