KUALA LUMPUR - Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menjelaskan tiada sebarang bentuk pencerobohan akan berlaku di Taman Rimba Kiara susulan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan itu selepas ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun berkata, menerusi perbincangan sebelum ini, pihaknya bersama pemaju terlibat telah bersetuju dan berkompromi untuk mengecilkan cadangan pembangunan dari 12 ekar kepada lapan ekar.
Beliau berkata, baki empat ekar itu akan dipulangkan agar dapat dirizabkan menjadi kawasan lapang dan disatukan dengan 13 ekar tanah sedia ada yang tidak termasuk dalam cadangan pelan pembangunan.
"Sejumlah 17 ekar kawasan Taman Rimba Kiara masih tidak diceroboh oleh sesiapa.
"Pembangunan ini tidak menceroboh taman rekreasi besar, trek joging dan kolam malah Kuil Sri Maha Mariamman juga akan dikekalkan seperti sediakala di tanah seluas 0.3 ekar," katanya ketika mengadakan lawatan di Taman Rimba Kiara, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Teliti projek Taman Rimba Kiara sebelum dibawa ke Kabinet
'Projek Taman Rimba Kiara tak usik kawasan hijau'
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mempersoalkan tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), YWP, dan pemaju yang tidak melibatkan beliau dengan isu projek pembangunan Taman Rimba Kiara.
Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi sejak 2017 dan mendapat bantahan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang mendakwa pelaksanaannya bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.
Bagaimanapun, pemaju bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu juga dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar antara pembangunan yang akan diteruskan, empat blok kondominium serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad sebelum ini juga menyatakan sebarang keputusan berhubung rancangan pembangunan itu akan ditentukan oleh kabinet.
Namun begitu, Hannah semalam berkata isu projek pembangunan itu perlu diteliti oleh Peguam Negara, Tommy Thomas sebelum ia dibawa dan diputuskan di Kabinet kerana terdapat banyak konflik berkepentingan.
Mengulas lanjut, Zaizalnizam berkata, pihak pemaju juga telah memperuntukkan tanah tambahan sebanyak 0.39 ekar kepada kuil tersebut untuk manfaat penganutnya selepas ini.
"Pemaju juga akan membuat permohonan secara berasingan mengenai hak milik yang berdaftar untuk memihak kepada kuil tersebut, juga memastikan kepentingan kuil akan dapat dilindungi dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Persatuan Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, V Sunderam berkata penduduk berharap agar projek pembangunan ini dapat diteruskan selepas ia tertangguh sejak 39 tahun lalu.
Sunderam berkata Khalid sebelum ini pernah turun padang dan menawarkan untuk membantu mencari penyelesaian terhadap perkara ini namun beliau turut berdepan kesukaran disebabkan oleh adanya pihak ketiga.
"Disebabkan itu kami berharap agar kerajaan cepat bincang dan luluskan perkara ini dalam kabinet supaya ia dapat dimulakan cepat dan penduduk juga mendapat kediaman yang dijanjikan," katanya.