SUDAH pun memulakan tayangannya sejak 29 April lalu, siapa sangka pihak produksi drama Curi-Curi Cinta berdepan dengan pelbagai rintangan sejak proses pra produksinya lagi.
Bagaimanapun ia tidak sesekali mematahkan semangat seluruh team produksi drama ini.
Jelas pengarah drama ini iaitu Raja Ahmad Alauddin, dia tidak tahu-menahu isu yang berlaku sebelum ini, tetapi menerima tawaran daripada pihak penerbit SR One Sdn Bhd, Dear Creative Media dan stesen televisyen berbayar, Astro kerana tidak terikat dengan apa-apa penggambaran pada ketika itu.
"Difahamkan saya bukan pengarah utama yang sepatutnya mengarahkan drama ini kerana ada beberapa orang pengarah lain yang sepatutnya mengemudi drama ini.
"Bagaimanapun nama saya tercalon sebagai pengarah untuk Curi-Curi Cinta dan saya akhirnya bersetuju untuk buat kerana free tanpa tahu kisah mengenai drama ini yang beberapa kali bertukar tangan.
"Saya tak ambil pusing apa yang berlaku, tapi saya hanya ada masa lebih kurang seminggu ketika itu untuk memahami jalan cerita menerusi novel dan skrip 28 episod.
"Bukan itu sahaja, dalam tempoh itu juga, kami melengkapkan krew dan barisan pelakon,” katanya kepada Sinar Harian.
Drama yang kini mengisi slot MegaDrama di Astro Ria ini membariskan gandingan pelakon baru dan lama seperti Aiman Hakim, Zahirah Macwilson, Fauziah Nawi, Izzue Islam dan ramai lagi.
Tambah Ahmad Alauddin, walaupun keadaan kelam-kabut pada awalnya, namun segala masalah dapat diatasi dan penggambaran berjalan mengikut jadual selama 80 hari bermula Februari lalu melibatkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Bangi dan Semenyih.
"Dugaan kami tidak berakhir di awal penggambaran itu sahaja, apabila salah seorang pelakon iaitu Ku Fridah yang juga merupakan watak penting dalam drama ini, jatuh sakit.
"Keadaannya pada ketika itu agak kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Jadi pihak produksi terpaksa menukar pelakon dan mengolak skrip kerana penggambaran sudah berjalan lebih 50 peratus.
"Tempat Ku Fridah digantikan dengan Layla Nasir dan Alhamdulillah, pada saya dia berjaya membawakan watak gantian itu dengan baik.
"Begitu juga dengan semua pelakon yang memberi komitmen tidak berbelah-bahagi,” jelasnya.
Ditanya mengenai keistimewaan drama ini, Ahmad Alauddin berkata, Curi-Curi Cinta sarat dengan konflik dan tidak akan membuatkan penonton bosan.
Malah, penonton juga pasti akan berubah hati dan akhirnya jatuh kasihan terhadap Intan Raihana yang dijayakan Zahirah.
"Bagi saya drama ini agak berat kerana sarat konflik. Habis satu konflik, timbul konflik lain, jadi penonton tak ada masa untuk rasa bosan atau drama ini meleret-leret.
"Pada awalnya mungkin mereka akan membenci Intan Raihana, tetapi akhirnya perasaan itu akan berubah dengan segala dugaan yang ditempuhi selepas berkahwin,” ujarnya.
Ahmad Alauddin berkata, apa yang diharapkannya, penonton akan mengambil iktibar dan tauladan menerusi drama ini.
Curi-Curi Cinta mengisahkan Intan Raihana malu kerana dilahirkan dalam keluarga yang susah dan memiliki ibu buta. Ayahnya meninggal dunia, dia pula membenci abangnya, Iskandar yang didakwanya sebagai punca kemalangan tersebut.
Terpaut dengan kekayaan Daniel Hakim, Intan merancang untuk memikat Daniel, apatah lagi bila mengetahui Daniel adalah kekasih sepupunya Fariza.
Suatu hari, Daniel diperangkap dan terpaksa disatukan dengan Intan. Daniel rasa tertipu pada perkahwinan mereka dan mahu membalas dendam.
Saksikan kesudahan dengan menonton drama ini setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Astro Ria HD 123.